
SEORANG wanita menarik perhatian ramai selepas berkongsi perbualannya dengan suami yang hanya tinggal RM17.65 dalam akaun bank.
Dalam satu hantaran yang dimuat naik di akaun Threads milik tuliphirai pada Jumaat, wanita berkenaan berkongsi tangkap layar perbualannya bersama suami.
“Nak makan apa-apa tak? Tinggal ni (RM17.65) tapi masih boleh beli lauk,” tulis si suami dalam mesej tersebut.
BACA LAGI: Suami tidak 'berjiwa besar' punca tercabar gaji isteri lebih tinggi - Pakar
Tangkap layar memaparkan perbualan suami isteri berkenaan.
Wanita itu bagaimanapun membalas, beliau akan melihat apa sahaja makanan yang ada di rumah untuk dimasak.
“Maka aku pun tengok apa yang ada, goreng telur, buat telur sos. Semoga syurga buat laki kita. Tinggal itu pun cakap boleh beli lauk,” katanya.
Situasi tersebut menyentuh hati warga maya yang rata-rata kagum dengan sikap suaminya yang masih mementingkan keluarga biarpun dalam keadaan kewangan tidak stabil.
Malah, tidak kurang juga yang tampil menawarkan bantuan dengan meminta wanita itu berkongsi kod respons pantas (QR) akaun bank bagi memudahkan mereka menghulurkan sumbangan.
Antara yang memberi respons termasuklah pempengaruh masakan popular, Hamdan Mubarak.
“Minta bagi QR boleh? Saya belanja barang dapur sikit,” tulisnya di ruangan komen.
Perkongsian itu kini tular dan terus dihujani doa serta kata-kata semangat daripada orang ramai yang terharu melihat kasih sayang suami isteri yang tetap setia dan susah senang bersama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram