
DEWAN peperiksaan yang sunyi suatu ketika dahulu menjadi titik mula kisah luar biasa Michelle Chin.
Tidak pernah menyerlah dalam matematik, namun kepantasannya menyelesaikan soalan dalam satu ujian mengejutkan dirinya sendiri.
Dari situlah kemahiran wanita itu berkembang sehingga digelar 'human kalkulator' oleh rakan-rakan dan pengikut media sosialnya.
BACA LAGI: Jangan sampai anak hilang keyakinan diri, karies, kaviti gigi risiko si kecil sukar kunyah
Berpangkalan di Austin, Amerika Syarikat (AS), Chin atau lebih dikenali sebagai MsMunchie mempunyai lebih 8.9 juta pengikut di TikTok dan lebih 3.4 juta pelanggan di saluran YouTube.
Popularitinya bukan sekadar hiburan, malah membawanya berkolaborasi dengan tokoh ternama seperti Bill Gates dalam cabaran matematik di YouTube Shorts pada Mac lalu, yang meraih lebih 336 juta tontonan setakat ini.
Menariknya, perjalanan tersebut bukan sesuatu yang dirancang oleh wanita itu.
Chin mengangkat matematik sebagai teras kandungannya platform media sosialnya. — Instagram/munchie.michelle
Lulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Matematik daripada University of California, Santa Cruz itu pada awalnya bercita-cita menjadi akauntan.
Namun, pertemuannya dengan YouTuber terkenal, Zach Hsieh atau ZHC, yang kini suaminya, membawa Chin ke satu perjalanan berbeza.
“Beliaulah yang memperkenalkan dunia (digital) itu, saya bermula dengan kandungan memasak dan Minecraft, tapi masih belum ada identiti.
"Sehinggalah satu hari Zach menonton Asia’s Got Talent dan ternampak peserta membuat kiraan kalkulator manusia.
"Masa itu saya sedar, oh, saya pun boleh buat begitu,” katanya.
Chin (belakang, tengah) ketika menghasilkan kandungan bersama kumpulan K-Pop, Stray Kids. — Instagram/munchie.michelle
Sejak itu, Chin mula mengangkat matematik sebagai teras kandungannya platform media sosialnya.
Antara video popular beliau termasuk menyelesaikan masalah 10,000 digit menggunakan sempoa.
Katanya, latihan sejak kecil dengan sempoa menjadi kunci kekuatan luar biasa itu.
Tidak terhenti di situ, Chin juga menganjurkan kelas matematik percuma secara dalam talian bertajuk Math Magic dengan kerjasama syarikat teknologi pendidikan yang berpangkalan di AS, Varsity Tutors, menggabungkan helah nombor magis dengan kemahiran asas matematik.
“Ramai orang tidak suka matematik, jadi bila saya ada platform di mana orang boleh seronok menonton matematik dan terinspirasi daripadanya, itu membuatkan saya sangat gembira,” katanya.
Chin (kiri) pernah berkolaborasi dengan Bill Gates dalam menyelesaikan cabaran matematik. — Instagram/munchie.michelle
Gaya kandungan Chin menampilkan visual neon, ekspresi wajah yang berlebihan dan jenaka matematik yang kreatif.
TikToknya sering dibuka dengan frasa menangkap perhatian seperti 'subscribe dan saya akan buat kerja rumah anda', menjadikan kerja sekolah sebagai umpan komedi.
Dengan purata 1.5 juta tontonan setiap video, Chin kini berada dalam kelompok teratas pencipta kandungan hiburan video di TikTok di AS dan dunia.
Strategi kandungannya berteraskan tiga tiang utama yakni keseronokan, pendidikan dan kolaborasi.
Dengan jenaka matematik, prank makanan dan cabaran berwarna-warni, Chin membina jenama yang mesra keluarga serta dinamik, sekali gus menjadikannya pilihan ideal untuk kerjasama dalam sektor pendidikan, makanan dan hiburan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram