
ORANG ramai diingatkan agar tidak memakai pendakap gigi (braces) melebihi tempoh rawatan yang disarankan kerana ia boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan mulut.
Menurut doktor gigi, Dr. Abdullah, masih terdapat individu yang gemar memakai pendakap gigi sehingga lima hingga 10 tahun semata-mata kerana menganggap ia sebagai trend atau fesyen.
Beliau memberi amaran, pendakap gigi sentiasa memberi tekanan aktif dalam mulut, justeru tidak wajar dipakai melebihi tempoh rawatan.
BACA LAGI: Jangan sampai anak hilang keyakinan diri, karies, kaviti gigi risiko si kecil sukar kunyah
BACA LAGI: Jangan main-main gigi berlubang, anak saksi ibu meninggal dunia, otak dijangkiti kuman, kanser gusi
“Apabila pakai braces, ia sentiasa aktif dalam mulut. Kalau dibiarkan sampai lima, enam tahun tanpa buka, apa akan jadi pada tulang dan gusi?
"Gusi dan tulang mengecut, akar gigi makin pendek. Akhirnya gigi jadi goyang. Jadi yang suka buat perangai macam itu, tolong lupakan,” katanya menerusi satu hantaran video dimuat naik di akaun TikTok ampangdentallegacy baru-baru ini.
Dr. Abdullah menegaskan, rawatan pendakap gigi sebenarnya mempunyai tempoh khusus yang ditetapkan pakar, lazimnya antara dua hingga tiga tahun sahaja.
“Kalau lagi cepat, lagi bagus, tapi awak berlama-lama sebab suka dan rasa ia fesyen. Sebenarnya awak merosakkan struktur dalaman gigi,” tambahnya.
Masalah kerosakan struktur dalaman gigi hanya dapat dilihat melalui pemeriksaan X-ray.
Mengulas tanggapan segelintir individu mendakwa, pemakaian pendakap gigi dalam tempoh lama tidak memberi kesan, pakar itu menegaskan, masalah sebenar hanya dapat dilihat melalui pemeriksaan X-ray.
“Ada yang kata kawan dia pakai braces 10 tahun baik saja. Selagi kawan awak itu tak X-ray gigi dia, memang nampak okey," ujarnya.
Justeru, beliau menasihati orang ramai agar sentiasa mendapatkan rawatan susulan dengan doktor gigi masing-masing dan segera menukar kepada penahan gigi (retainer) apabila rawatan selesai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram