Ibu sedih mentua lebih sudu dari kuah, teruja nak jaga cucu hingga menantu kecil hati


  • Bonda
  • Sabtu, 16 Ogos 2025

Wanita tersebut meluahkan rasa sedih apabila anaknya diberi makan oleh keluarga mentua tanpa kebenaran. — Gambar hiasan

SEORANG wanita meluahkan rasa sedih apabila anaknya yang baru berusia lima bulan diberi makan oleh keluarga mentua tanpa kebenaran.

Menerusi perkongsian di akaun Threads a.tiraaaaa pada Jumaat, wanita berkenaan mengakui terkilan kerana tidak berpeluang merasai momen istimewa sebagai ibu untuk memberi makanan pertama kepada anaknya.

“Sedihnya rasa malam ini. Anak lima bulan dah diberi makan oleh keluarga mentua tanpa tanya saya dulu sebagai ibu.

"Tak tahulah emosional atau apa tapi sedih, sebagai ibu pertama kali, nak juga rasa pengalaman bagi bayi makan untuk kali pertama, tengok reaksi dia dan sebagainya, tapi itulah ada pula yang memandai,” katanya.

BACA LAGI: Ibu mentua bukan 'bibik', menantu perempuan kena sepakat saling bantu di dapur

BACA LAGI: Menantu dilema, keluarga jadi dingin lepas bapa mentua 'terjah' masuk bilik waktu susukan anak

 

 

Menurut wanita itu, kejadian berlaku ketika beliau dan suami baru tiba di rumah mentua.

Ujarnya, ketika sedang mengemas barang, beliau terdengar gelak tawa di dapur, sebelum terkejut selepas mendapati bayinya sudah diberi makan biskut bayi.

Lebih mengecewakan, katanya, beliau sudah sebelum ini bersama suami sudah menolak cadangan ibu mentua untuk memperkenalkan makanan pejal lebih awal kerana anak mereka masih belum cukup umur.

“Kami dah jelaskan tak nak bagi awal, tapi lepas itu selalu kena perli. Ibu mentua kata anak-anaknya dulu makan seawal empat bulan.

"Tak dinafikan mak saya sendiri pun bagi saya dan adik beradik makan (ketika berumur) empat bulan.

"Namun tak bererti cara itu betul dan saya wajib ikut,” jelasnya.

Wanita itu menambah, beliau sudah membuat persediaan rapi untuk memperkenalkan makanan pejal kepada anak pada usia yang sesuai, termasuk menyediakan pelan pemakanan dan buku resipi.

Tegasnya lagi, gaya keibubapaan setiap orang adalah berbeza.

"Sekarang pun dah banyak pendedahan dan ilmu, bayi hanya sesuai diberi makan pada enam bulan.

"Saya terkilan sebab usaha macam tak dihargai. Harap anak saya sihat saja.

"Faham saja dia sayang cucu, terima kasih sebab sayang budak itu tapi janganlah memandai,” luahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram