Sasar 50 anak Felda sambung pengajian kursus TVET


  • Primer
  • Rabu, 20 Mac 2024

Sekurang-kurangnya 50 orang anak Felda disasarkan untuk menyambung pengajian di UniKL dan mengambil kursus TVET.

KERAJAAN menyasarkan sekurang-kurangnya seramai 50 orang anak Felda untuk menyambung pengajian khususnya dalam kursus Pendidikan Vokasional dan Teknik (TVET) pada sesi pengambilan akan datang di Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bertujuan bagi memberi peluang kepada generasi keempat dan lima Felda.

Menurutnya, Majlis TVET Negara diarahkan untuk menyelaraskan program TVET khususnya TVET Generik dan TVET Aras Tinggi untuk meningkatkan kemahiran dan menjana pendapatan.

BACA LAGI : Baru terima bekalan elektrik, ibu bapa kecewa sekolah tak ubah seperti reban ayam di Jempol

photo_6327854993591352076_x

Zahid mengharapkan agar lebih ramai anak Felda mengambil kursus TVET.

Ia juga termasuk tawaran kursus oleh Institusi TVET Awam seperti GiatMara, Akademi Binaan Malaysia, Institut Latihan Perindustrian, Kolej Yayasan Felda dan Kolej Komuniti.

"Saya ingin menawarkan untuk lebih ramai anak-anak Felda, khususnya generasi empat dan lima untuk menyertai UniKL bagi menyertai industri termaju termasuk Telekomunikasi, Tenaga boleh diperbaharui, Kecerdasan Buatan, Industri Aeroangkasa, Marin dan Rel.

"Insya-ALLAH, Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan membantu dari segi kesesuaian pinjaman pelajaran," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

TVET Generik dikatakan merangkumi skop kursus seperti eknologi Mekanisasi Ladang, bidang pertanian dan penternakan, teknologi kimpalan dan pendawaian, manakala TVET Aras Tinggi seperti Teknologi Aeroangkasa, Digital, Rel, EV dan Mikroelektronik (Chip Design)

Zahid berkata, UniKL menjadi satu daripada Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) menerima 29 anak Felda (13 Ijazah, 16 Diploma) pada 2023.

BACA LAGI : Tak jadi ulat buku semata-mata, 4 langkah KPM diharap bantu murid kuasai 3M — PIBGN

photo_6327854993591352077_x

Sumbangan Aidilfitri diberikan kepada peneroka Felda.

Dalam perkembangan berasingan, Zahid mengumumkan bantuan khas bersasar RM300 diberikan kepada peneroka Felda berpendapatan RM1,000 ke bawah.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, bantuan khas itu akan dibayar kepada setiap peneroka di 317 tanah rancangan Felda seluruh negara sebelum Aidilfitri.

Katanya, kumpulan itu juga bersama kelompok peneroka berpendapatan RM1,001 hingga RM2,000 akan menikmati penangguhan potongan hutang (tidak termasuk Kos Operasi Ladang) untuk hasil bulan Mac.

"Saya berharap pihak pengurusan Felda dapat melaksanakan (pengagihan bantuan khas ini) sebelum Aidilfitri dan memastikan tiada yang tercicir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Bersama Warga Felda di Dewan Besar Maktab Rendah Sains Mara (Mrsm) Felda Trolak, Perak pada Rabu.

photo_6327854993591352078_x

Sumbangan yang diberikan kepada Maahad Tahfiz.

Pada majlis itu juga, beliau menyerahkan sumbangan berjumlah RM66,050 kepada 307 orang anak yatim dan golongan asnaf dari sekitar Trolak termasuk pemberian duit raya kepada pelajar Maahad Tahfiz.

Sumbangan itu disalurkan oleh FGV Holdings Bhd berjumlah RM50,000, RM13,000 dari Waqaf Felda dan baki RM3,050 dari Jawatankuasa Kemajuan Rancangan (JKKR) Gabungan Wilayah Trolak.

Jumlah agihan tersebut melibatkan 270 buah sekolah kebangsaan termasuk 20 buah sekolah di Wilayah Trolak dengan jumlah 656 murid dengan peruntukan RM98,400.

Agihan itu juga akan diteruskan kepada 14,500 pelajar iaitu 11,500 semua pelajar tahun 1/2024 di seluruh sekolah di kawasan tanah rancangan Felda dan 3,000 set diedarkan kepada warga Felda yang menetap di Luar Tanah Rancangan (Lembah Klang, Shah Alam (Selangor) Johor Bahru (Johor) Ipoh (Perak) dan Kuantan (Pahang) dengan peruntukan RM2,175,000. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram