Jangan sampai anak hilang keyakinan diri, karies, kaviti gigi risiko si kecil sukar kunyah


  • Bonda
  • Selasa, 22 Jul 2025

Lawatan ke klinik pergigian seawal usia satu tahun membantu mengesan masalah lebih awal.

KES melibatkan kanak-kanak berusia tiga tahun mengalami pelbagai karies dan abses gigi menjadi peringatan akan kepentingan penjagaan mulut yang bermula sejak usia awal.

Menurut perkongsian doktor gigi, Dr. Azila Mohd Kasim, pada usia muda, kanak-kanak masih belum mampu memahami nilai dan kepentingan menjaga gigi mereka sendiri. 

Justeru, tanggungjawab utama menjaga kebersihan mulut sepenuhnya terletak pada bahu ibu bapa dan penjaga.

BACA LAGI: Jangan main-main gigi berlubang, anak saksi ibu meninggal dunia, otak dijangkiti kuman, kanser gusi

BACA LAGI: Tip pastikan anak bersedia sebelum jumpa doktor gigi

“Mengabaikan kebersihan pergigian kanak-kanak pada tahun awal usia mereka boleh membawa akibat serius bukan sahaja kesakitan dan jangkitan, tetapi kesan jangka panjang terhadap pertumbuhan, keyakinan dan kesihatan keseluruhannya. 

"Kaviti gigi pada kanak-kanak kecil bukan masalah kecil. Apabila tidak dirawat, ia boleh menyebabkan kehilangan gigi pramatang, menyukarkan kanak-kanak untuk mengunyah makanan dengan betul, bercakap dengan jelas atau tersenyum dengan yakin. 

"Gigi yang dijangkiti juga boleh menyebabkan ketidakselesaan teruk, menangis kesakitan, kurang tidur dan kesukaran makan seterusnya menjejaskan perkembangan dan kualiti hidup mereka," katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya pada Isnin.

Gigi dijangkiti boleh menyebabkan ketidakselesaan teruk.

Dr. Azila mengingatkan, ibu bapa dan penjaga memainkan peranan paling kritikal dalam langkah pencegahan. 

Beliau menambah, memberus gigi dua kali sehari menggunakan ubat gigi yang sesuai dengan usia adalah amalan penting, meskipun ketika hanya beberapa batang gigi yang telah tumbuh.

“Lawatan ke klinik pergigian seawal usia satu tahun bukan sahaja membantu mengesan masalah lebih awal, malah memberikan panduan berharga kepada ibu bapa mengenai rutin penjagaan yang betul,” katanya lagi.

Di samping itu jelasnya, kawalan pemakanan memainkan peranan besar dalam mencegah kaviti. 

Menurutnya lagi, pengambilan gula berlebihan daripada makanan ringan dan minuman manis kekal sebagai penyumbang utama pada kerosakan gigi dalam kalangan kanak-kanak.

"Kanak-kanak, secara semula jadi, meniru tingkah laku orang dewasa. 

"Justeru, menjadikan rutin memberus gigi sebagai aktiviti menyeronokkan dan dilakukan bersama boleh membantu membina tabiat yang sihat sejak kecil.

“Dengan menunjukkan contoh yang baik dan mengutamakan pencegahan, ibu bapa sebenarnya sedang melindungi senyuman dan masa depan anak-anak mereka,” tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram