Kerja 100 jam seminggu, Kimberly Ho tinggalkan Wall Street, lancar produk penjagaan kulit pikat Gen Alfa


  • Sukses
  • Jumaat, 01 Ogos 2025

Kimberley berhasrat menjadikan Evereden sebagai 'Johnson & Johnson generasi alaf baharu'. — Agensi

MENINGGALKAN kerjaya dalam dunia perbankan pelaburan bukanlah keputusan mudah, namun itu langkah berani yang diambil Kimberley Ho, wanita kelahiran Kuala Lumpur yang kini menjadi pengasas bersama jenama penjagaan kulit keluarga, Evereden, yang mencatat jualan tahunan melebihi AS$100 juta (lebih RM427,000,000).

Lulusan Universiti Stanford berusia 35 tahun itu dibesarkan oleh ibu bapa usahawan dan sering menyifatkan dirinya sebagai startup baby kerana sejak dalam kandungan, ibunya sudah terlibat dalam dunia perniagaan dan terpaksa mengangkat kotak sendiri kerana tidak mampu menggaji pekerja.

“Etika kerja keras dan semangat tidak mudah mengalah datang daripada ibu bapa saya,” katanya yang kini berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

BACA LAGI: Berkurung di studio, siap campak cat atas kanvas, bekas saintis akhirnya temui keseimbangan seni dan sains

BACA LAGI: Cipta alat bantu Matematik buat pelajar dyscalculia, penyelidik Malaysia rangkul anugerah global 

Meninggalkan Malaysia pada usia 18 tahun untuk melanjutkan pengajian dalam bidang ekonomi, Kimberley memulakan kerjaya di firma kewangan terkemuka Goldman Sachs, sebelum berpindah ke Oaktree Capital Management untuk mengurus pelaburan dalam jenama pengguna dan kecantikan.

Pengalaman bekerja dalam dunia kewangan berprofil tinggi, katanya, membentuk kecekalan mental dan daya tahan.

“Saya bekerja 100 jam seminggu. Bahkan kesilapan margin dua sentimeter dalam PowerPoint boleh menyebabkan panggilan tengah malam daripada bos,” ujarnya.

Namun, keinginan mendalam untuk mencipta sesuatu yang lebih bermakna mendorongnya meninggalkan kerjaya korporat.

Kimberley meninggalkan Malaysia pada usia 18 tahun untuk melanjutkan pengajian dalam bidang ekonomi. — Agensi

Permintaan keluarga

Idea penubuhan Evereden tercetus apabila rakan-rakan di Malaysia yang baru menjadi ibu bapa memintanya membawa pulang produk penjagaan kulit bayi yang bersih dan selamat dari AS.

Sebagai bekas pelabur dalam beberapa jenama besar, Kimberley sedar banyak dakwaan produk 'bersih dan selamat' hanyalah gimik pemasaran.

“Saya tahu ada jenama yang tidak sejujur yang mereka dakwa,” ujarnya yang tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 pada 2019 dalam kategori Runcit dan E-dagang.

Maka pada 2017, bersama suaminya Huang Lee, Kimberley menubuhkan Evereden dengan misi menghasilkan produk penjagaan kulit keluarga yang benar-benar telus, selamat dan berasaskan sains.

Antara produk keluaran jenama Evereden. — Agensi

Tanpa latar belakang perubatan, Kimberley menghubungi 50 pakar dermatologi untuk mempersembahkan ideanya. 

Hasilnya, Dr. Joyce Teng daripada Stanford Medical School menyertai Evereden sebagai Ketua Pegawai Sains, diikuti dua doktor daripada Harvard yang juga bergelar ibu.

Selepas dua tahun pembangunan dan kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA), Evereden dilancarkan secara rasmi dan menembusi dua pasaran utama dunia iaitu AS dan China.

Jenama tersebut kemudiannya menambah produk untuk ibu seperti minyak cegah kesan regangan dan barisan khas untuk kanak-kanak serta remaja, termasuk penjagaan rambut dan kulit.

Tanpa latar belakang perubatan, Kimberley pernah menghubungi 50 pakar dermatologi untuk mempersembahkan ideanya. — Agensi

Menjangkau generasi Alfa

Menyasarkan generasi Alfa, mereka yang lahir selepas 2010, Kimberley melihat trend baharu dalam pasaran yang mana kanak-kanak dan remaja kini mahu akan produk yang mencerminkan identiti mereka sendiri.

“Mereka tak lagi mahu guna botol syampu dua dalam satu milik ibu bapa. Mereka mahukan produk unik untuk diri sendiri,” katanya.

Menariknya, walaupun ibu bapa membuat pembelian pertama, Evereden mendapati pesanan ulangan sering datang daripada anak-anak sendiri.

Barisan produk pra-remaja menjadi segmen paling pantas berkembang, manakala produk penjagaan rambut kanak-kanak menduduki carta teratas kategori Amazon hanya selepas beberapa bulan pelancaran.

Melihat kembali perjalanannya, beliau mengiktiraf pengaruh besar yang dibawanya daripada bentuk pemikiran keusahawanan kedua ibu bapanya serta etika kerja keras yang dibentuk semasa berada di Wall Street.

“Etika kerja macam itu sangat bernilai untuk saya sebagai anak muda yang baru bermula.

"Ia mengajar saya untuk sentiasa mahu jadi yang terbaik dan tak mudah terima jawapan ‘tidak’,” jelasnya.

Kini, selepas mencatat keuntungan bersih dan jualan tahunan mencecah AS$100 juta, Kimberley berhasrat menjadikan Evereden sebagai 'Johnson & Johnson generasi baharu', merangkumi jenama penjagaan kulit keluarga bertaraf global.

“Membina perniagaan ini bukan soal keuntungan cepat, tetapi benar-benar satu usaha lahir daripada kasih sayang,” katanya yang mengakui bangga apabila rakan-rakan dan keluarga di Malaysia dapat menyentuh hasil usahanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram