[VIDEO] 'Dapat gred C untuk Kimia, semester berikut saya ubah strategi dengan...', pelajar raih 'straight A' A-Level kongsi rahsia belajar


  • Sukses
  • Jumaat, 15 Ogos 2025

Saidatul Aishah berkongsi tip khusus untuk para pelajar untuk mendapatkan keputusan cemerlang.

KEJAYAAN diraih seorang pelajar perempuan yang dikenali sebagai Saidatul Aishah, 19, dalam peperiksaan A-Level baru-baru ini menjadi sorotan ramai.

Sebelum ini, bekas pelajar di Kolej MARA Seremban, Negeri Sembilan itu sempat berkongsi detik-detik menunggu keputusan peperiksaan tersebut bersama keluarganya di rumah.

Usahanya menimba ilmu akhirnya terbalas apabila beliau yang mesra disapa Aishah itu berjaya memperoleh gred A bagi mata pelajaran Fizik, Kimia dan Matematik.

BACA LAGI: Suri rumah di Skudai bisnes bidai iklan, bantu 'marketing' peniaga kecil, jadi tumpuan golongan pencen

BACA LAGI: Mimi Lana mohon doa dapat anak kembar, pakar bagi tip makan keledek, pantau kitaran ovulasi

Aishah juga dikatakan bakal melanjutkan pengajian ke sebuah universiti terkemuka di Australia susulan keputusan cemerlang tersebut.

Menurut Aishah, perjalanannya bermula sejak di bangku sekolah selepas memperoleh keputusan 5A1B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Aishah bagaimanapun mengakui pernah melalui fasa sukar ketika pandemik Covid-19, semasa berada di tingkatan tiga sehingga membuatkan prestasi akademiknya merosot.

"Waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memang tak belajar sangat dan kemudiannya Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dimansuhkan.

"Saya memang sasarkan untuk masuk Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), tetapi tidak berjaya, jadi terus belajar di sekolah harian sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya menerusi video dimuat naik di akaun TikToknya.

Aishah merupakan salah seorang daripada tiga pelajar yang meraih keputusan semua A SPM di sekolahnya.

Namun, disebabkan gred A- yang diperoleh dalam satu subjek, permohonan biasiswa Aishah ditolak sebelum ditawarkan ke program Young Talent Program (YTP) MARA selepas melalui sesi temu duga.

Sebelum itu, Aishah sempat mendaftar ke Kolej Matrikulasi Jengka, Pahang dalam jurusan kejuruteraan sebelum menerima tawaran ke Kolej MARA Seremban untuk mengikuti program A-Level.

"Sewaktu semester pertama, saya agak terkejut dengan tahap kesukaran A-Level.

"Saya hanya mendapat gred C untuk Kimia. Tetapi, pada semester berikutnya, saya ubah strategi dengan betul-betul belajar, fahamkan konsep dan akhirnya memperoleh semua A," jelasnya.

Sempat berkongsi tip kejayaannya, Aishah menegaskan kepentingan dalam memahami setiap konsep pembelajaran dan bukan sekadar menghafal.

"Fahamkan bagaimana sesuatu perkara itu berlaku.

"Sama seperti menonton filem, walaupun jalan cerita perlahan, kita tunggu sampai habis untuk fahamkannya.

"Banyakkan buat latihan, lama-kelamaan kita akan faham," jelasnya.

Aishah turut menzahirkan rasa syukur dan berharap perkongsiannya dapat memberi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kejayaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram