Cipta alat bantu Matematik buat pelajar dyscalculia, penyelidik Malaysia rangkul anugerah global 


  • Sukses
  • Khamis, 31 Jul 2025

Sai Hoe (berdiri) memantau para guru semasa sesi latihan pengajaran Matematik menggunakan alat bantu tersebut.

USAHA sekumpulan penyelidik Malaysia dalam membantu kanak-kanak yang berdepan kesukaran memahami Matematik membuahkan hasil apabila berjaya meraih pengiktirafan antarabangsa menerusi pembangunan alat bantu inovatif untuk pelajar disleksia numerik (dyscalculia).

Diketuai oleh Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Pengajaran Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dr. Yoong Soo May, pasukan tersebut diumumkan sebagai pemenang Anugerah Platinum dalam Pertandingan Inovasi Pendidikan Inklusif Orang Kurang Upaya (iDIEC) yang berlangsung sempena Persidangan Antarabangsa Pendidikan Khas ke-6 baru-baru ini.

Lebih membanggakan, kemenangan tersebut turut disertakan geran penyelidikan daripada Lembaga Metic Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi memperluas dan mempertingkatkan inovasi berkenaan.

BACA LAGI: 50 peratus kepadatan subjek Matematik, Sains dikurangkan

BACA LAGI: 'Tak pandai ilmu hisab', gesa silibus sekolah rendah dikaji semula susulan ramai calon gagal Matematik SPM 2024

Salah seorang ahli pasukan, Dr. Fu Sai Hoe berkata, alat bantu pembelajaran yang masih di peringkat prototaip itu dibangunkan khusus bagi menyokong kanak-kanak dyscalculia yang sering tercicir dalam penguasaan asas Matematik walaupun telah menerima bantuan pengajaran konvensional.

“Inilah hasil kerja keras dan dedikasi kami selama ini. Pengiktirafan di peringkat antarabangsa memberi semangat baharu untuk terus memperjuangkan pendidikan yang inklusif dan efektif,” katanya. 

Menurut beliau, inovasi tersebut terdiri daripada Lembaga Metic dan buku Metic Asas yang dirangka untuk mengukuhkan kefahaman pelajar terhadap konsep nombor serta empat operasi asas matematik iaitu tambah, tolak, darab dan bahagi.

“Antara elemen penting yang kami tumpukan ialah subitising (kemahiran mengenal kuantiti secara pantas), anggaran, perbandingan, pengiraan dan konsep nombor genap serta ganjil. 

"Setiap teknik dibangunkan dengan teliti agar bersesuaian dengan keperluan pelajar yang mengalami kesukaran pembelajaran,” jelasnya lagi.

Dengan suntikan dana penyelidikan daripada UPSI, pasukan tersebut merancang untuk menambah baik rekaan sedia ada dan melaksanakan ujian lapangan di sekolah terpilih bagi menilai keberkesanannya dalam situasi pembelajaran sebenar.

Inovasi itu sekali gus membawa sinar harapan kepada pelajar-pelajar berkeperluan khas yang selama ini sering ketinggalan dalam subjek teras seperti Matematik.

Ia membuktikan bahawa dengan pendekatan yang sesuai, setiap anak mampu menjadi lebih cemerlang. — The Star/SANDRA SOKIAL

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram