Kerja sama cuma gaji berbeza, guru Malaysia lebih mewah berbanding cikgu Indonesia hanya bergaji RM835 sebulan


  • Massa
  • Sabtu, 09 Ogos 2025

Purata gaji guru di Indonesia jauh lebih rendah berbanding negara Asia Tenggara lain. — Gambar hiasan/Janaan Ai

PROFESION guru sering dianggap mulia kerana memikul amanah besar membentuk sahsiah dan masa depan generasi muda.

Tugas mendidik bukan sekadar menyampaikan ilmu, malah membimbing akhlak, memupuk nilai murni dan menjadi teladan kepada anak bangsa.

Namun, meskipun dipandang tinggi, penghargaan terhadap guru berbeza mengikut negara.

BACA LAGI: Tindakan netizen kongsi maklumat kes Zara Qairina hanya peranan kecil, boleh cetus salah faham — Peguam

BACA LAGI: ‘Siang jadi guru malam nak berjaga’, lantik warden swasta elak kejadian buli di asrama

Di Malaysia, profesion ini bukan sahaja diiktiraf dari segi tanggungjawab, malah turut dijamin kebajikan dan gaji yang setimpal.

Situasi itu mencetuskan rasa kagum serta cemburu dalam kalangan netizen Indonesia apabila perbandingan gaji guru antara kedua-dua negara menjadi perbualan hangat di media sosial.

Perbincangan tercetus di platform Threads apabila seorang pengguna, Adsyifa, mendakwa guru di Malaysia menikmati kehidupan lebih selesa dengan gaji jauh lebih tinggi berbanding di negaranya.

Menurutnya, guru sekolah rendah di Malaysia memperoleh antara RM8,000 hingga RM10,000 sebulan, manakala guru sekolah menengah mencecah RM15,000.

“Mereka di Malaysia memandu kereta mewah dan tiada istilah guru kontrak atau sementara.

"Perkara ini bukan hanya berlaku di Kuala Lumpur, malah di kawasan luar bandar pun sama. Sedih melihat negara kami merendahkan profesion ini,” tulisnya.

 

 

Adsyifa berkongsi pandangan itu selepas melihat hantaran seorang pempengaruh yang juga guru matematik, Jerome Polin Sijabat, yang meluahkan rasa kecewa berhubung kenyataan tular Menteri Kewangan negaranya mengenai gaji guru dan pensyarah.

“Saya sedih apabila melihat kenyataan tersebut. Jika negara tidak menjadikan guru, pensyarah dan usaha meningkatkan kualiti pendidikan sebagai keutamaan, mustahil untuk mencapai kemajuan.

"Saya tahu peruntukan pendidikan sudah mencecah 20 peratus daripada bajet negara, tetapi saya yakin masih banyak perbelanjaan sektor lain yang kurang mendesak boleh dipotong dan disalurkan kepada pendidikan.

"Negara yang maju adalah negara yang pendidikannya berkualiti, dan ia dibina oleh tenaga pendidik yang berkualiti. Salah satu faktor terpenting untuk mendorong kemajuan itu ialah gaji dan kesejahteraan guru,” katanya.

Untuk makluman, melalui laporan Katadata.co.id pada Februari 2025 merekodkan purata gaji guru di Indonesia jauh lebih rendah berbanding negara Asia Tenggara lain.

Berdasarkan data portal pekerjaan Jobstreet, gaji terendah guru hanyalah sekitar Rp2.8 juta (lebih kurang RM835) sebulan, manakala gaji tertinggi sekitar Rp5.5 juta (sekitar RM1,640) sebulan.

Perbandingan itu sekali lagi mencetuskan perdebatan mengenai jurang gaji guru antara kedua-dua negara serta tahap penghargaan terhadap profesion perguruan di rantau ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram