
SAKIT gigi akibat gigi berlubang sering dianggap remeh dan dibiarkan begitu sahaja oleh sesetengah individu.
Pakar kesihatan bagaimanapun memberi amaran bahawa keadaan tersebut sebenarnya boleh membawa risiko besar kepada kesihatan, bahkan mengancam nyawa jika tidak dirawat segera.
Gigi berlubang yang tidak dirawat boleh menjadi punca kepada pelbagai komplikasi berbahaya apabila bakteria mula merebak ke bahagian lain dalam badan melalui saluran darah.
BACA LAGI: 'Terapi tidur X saat' bukan rawatan, undang bahaya tersendiri
Antara risiko serius termasuk jangkitan otak, sepsis (jangkitan darah), bisul, malah dalam kes tertentu boleh menyebabkan kematian.
Pengalaman sama dikongsikan seorang pengguna aplikasi Thread baru-baru ini, apabila ibunya meninggal dunia akibat jangkitan kuman yang berpunca daripada gigi berlubang.
Menurut individu tersebut, ibunya berusia 40 tahun pada ketika itu mengalami komplikasi kesihatan yang serius selepas mengalami sakit gigi.
Gigi berlubang yang tidak dirawat boleh menjadi punca kepada pelbagai komplikasi berbahaya.
Beliau dibawa ke hospital dan dimasukkan ke zon merah selama tujuh jam sebelum keadaannya sedikit stabil.
"Ibu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan bergantung sepenuhnya dengan bantuan pernafasan.
"Doktor beritahu ibu sudah tiada harapan sembuh sebab otak dah dijangkiti kuman melalui lubang pada gigi.
"Ya, kalian tolong jangan buat main apabila gigi berlubang sebab aku jadi saksi ibu meninggal dunia pada umur 40 tahun," tulisnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata turut berkongsi pengalaman serupa yang mengaitkan gigi berlubang dengan masalah kesihatan serius.
“Macam abang ipar adik aku pun sama. Dia meninggal sebab gigi berlubang. Dia korek-korek lagi dan tak pergi jumpa doktor gigi.
"Selepas itu kuman dah merebak dan menjadi kanser gusi. Seksanya tengok sampai dia meninggal,” cerita azelyabdullah.
Gosok gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari boleh mengelakkan komplikasi serius.
Gigi berlubang bukan sahaja menyebabkan kesakitan, malah memberi kesan besar kepada kesihatan keseluruhan jika dibiarkan tanpa rawatan:
1) Jangkitan bakteria – Kuman boleh memasuki saluran darah dan merebak ke bahagian tubuh lain, termasuk otak (meningitis) dan jantung (endokarditis).
2) Bisul – Nanah terbentuk di sekitar gigi yang terjejas, boleh menyebabkan bengkak muka dan leher.
3) Sepsis – Keadaan berbahaya yang berlaku apabila jangkitan merebak ke seluruh badan, mengakibatkan kegagalan organ dan boleh membawa maut.
4) Masalah pernafasan – Jangkitan daripada mulut boleh sampai ke paru-paru dan menyebabkan pneumonia.
5) Kanser mulut atau gusi – Dalam kes jarang tetapi serius, jangkitan kronik boleh menyumbang kepada perkembangan sel kanser.
Untuk mengelakkan komplikasi serius, berikut langkah penting yang perlu diambil:
1) Pemeriksaan gigi berkala – Lawat doktor gigi setiap enam bulan walaupun tiada rasa sakit.
2) Kebersihan mulut – Gosok gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dan gunakan flos.
3) Jangan abaikan sakit gigi – Jika ada tanda-tanda seperti sakit berpanjangan, bengkak, atau darah, segera dapatkan rawatan.
4) Elakkan ‘rawatan sendiri’ – Jangan korek atau sapu bahan mentah tanpa nasihat pakar.
5) Amalkan diet sihat – Kurangkan pengambilan makanan dan minuman bergula yang menyumbang kepada kerosakan gigi.
Gigi berlubang bukan sekadar masalah kosmetik atau ketidakselesaan biasa.
Ia boleh menjadi pintu masuk kepada jangkitan yang membawa maut. Jangan tunggu sehingga terlambat, kesihatan mulut adalah sebahagian daripada kesihatan tubuh secara keseluruhan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram