Menantu dilema, keluarga jadi dingin lepas bapa mentua 'terjah' masuk bilik waktu susukan anak


  • Bonda
  • Selasa, 29 Jul 2025

Wanita menangis depan suami ketika tengah menyusu anak dalam bilik selepas bapa mentua masuk tanpa ketuk. — Gambar Hiasan/Ai

DALAM rumah tangga, bukan semua situasi mudah diselesaikan dengan kata 'maaf'.

Ada perkara secara tidak sengaja boleh mencetuskan pergolakan emosi, terutama apabila melibatkan soal maruah, privasi dan perasaan seorang isteri yang baru sahaja melalui fasa bersalin dan berpantang.

Seorang wanita di Threads berkongsi dilema yang ramai wanita pendam.

BACA LAGI:Dekorasi kediaman mesra haiwan, pencinta kucing wajib ambil tahu!

BACA LAGI:Konsep Modern Zen Jepun simbolik kedamaian, praktikal — Shadee Hizami

"Masa itu saya tengah susukan anak di dalam bilik. Suami baru keluar (dari bilik) nak buat susu, jadi saya pun tak kunci pintu.

"Tiba-tiba bapa mentua buka pintu dan masuk tanpa ketuk. Saya terkejut dan menangis bila suami masuk semula."

Bagi sesetengah orang, ia mungkin kelihatan perkara keci,tapi buat seorang wanita yang baru melahirkan, insiden sebegitu cukup membuatkan rasa malu, terdedah dan hilang keyakinan diri.

Emosi tidak stabil dan lebih teruk, rasa bersalah mula menguasai diri.

"Saya menangis sebab rasa malu sangat dengan bapa mentua. Selepas itu terus cerita dekat suami. Tak sangka suami terus marah dan tegur bapa dia. Ibu mentua pun tahu dan keadaan terus jadi tegang."

Walaupun suami cuba mempertahankan isterinya, pergaduhan tercetus.

Ayahnya meminta maaf kepada anaknya dan terus keluar rumah.

Malangnya, tindakan itu hanya menambah suasana dingin dalam rumah tersebut.

"Saya pula yang rasa serba salah. Saya tak berniat pun nak keruhkan keadaan. Tapi saya pun tak kuat nak diamkan perasaan malu itu."

Lebih memilukan, ibu mentua pula menangis sambil memohon maaf kepada anaknya, dan suasana dalam rumah menjadi terlalu janggal dan tidak selesa.

"Suami ajak balik malam itu juga. Tapi saya tak sampai hati sebab ibu bapa mentua banyak tolong kami selama ini. Saya buntu."

Perkongsian seorang wanita di Threads.

Dalam ruang benak hati, si isteri mula bertanya adakah dia terlalu sensitif? Atau adakah suaminya terlalu emosi? Adakah salahnya kerana tidak mengunci pintu?

Soalan-soalan itu bukan sekadar monolog biasa, namun ia adalah refleksi betapa wanita sering menyalahkan diri sendiri walaupun mereka adalah mangsa keadaan.

Privasi adalah hak setiap insan dan dalam sebuah keluarga, menjaga adab serta batas adalah asas kepada keharmonian.

Mungkin tiada siapa yang benar-benar bersalah dalam insiden tersebut, tapi semua pihak boleh belajar sesuatu iaitu tentang pentingnya komunikasi, empati dan kepekaan terhadap emosi orang lain.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram