
RAMAI menyangka tugas petugas kesihatan hanya sekadar memberi rawatan perubatan kepada pesakit.
Selain merawat tubuh, mereka juga antara barisan hadapan yang mampu menyembuhkan hati pesakit mereka.
Ia sama seperti mana dikongsikan oleh Pakar Perubatan Keluarga di Klinik Singapore, Pulau Pinang, Dr. Khaw di akaun Threadsnya baru-baru ini.
BACA LAGI: 'Stroller' reka bentuk, inovasi pintar gaya Belanda, penuhi kelengkapan keluarga moden
BACA LAGI: Bapa siasat latar belakang calon menantu, akhirnya terbongkar lelaki itu...
Berdasarkan kisahnya, seorang pesakit iaitu remaja perempuan dan ibunya hadir ke klinik untuk mendapatkan rawatan masalah kemurungan.
Menurutnya, masalah tersebut berpunca daripada sejarah zaman kanak-kanak ibunya yang mengalami konflik keluarga.
"Pintu klinik baru sahaja dibuka, air matanya sudah tumpah. Ibunya duduk di sisi, menepuk bahu perlahan, memujuk dan menemani.
"Saya tahu, tangisan itu bukan sekadar kerana sakit badan, tetapi kerana luka di hati.
"Sejak kecil dia ada masalah kemurungan ringan. Pernah berjumpa kaunselor, sempat pulih seketika, kemudian berulang.
"Puncanya saya dengar sedikit demi sedikit dari ceritanya iaitu masalah dari keluarga asalnya (ibu)," tulisnya.
Katanya, ibu remaja perempuan tersebut mempunyai hubungan yang tegang dengan kedua-dua orang tuanya.
Masalah kemurungan boleh menjejaskan kesihatan mental seseorang. — Gambar hiasan/Agensi
Niat baiknya juga sering disalah erti dan masalah itu berlarutan sehingga ke keluarga mentua.
Ia akhirnya memberi kesan kepada anak perempuan.
"Beberapa hari lepas, dia datang lagi. Senyumnya sudah ada, tetapi matanya masih simpan resah.
"Saya mampu buat hanyalah mendengar, biar dia meluahkan, kadang-kadang memberi kata nasihat yang lembut, memberi sedikit panduan agar suatu hari nanti boleh berdamai dengan keluarga dan dengan diri sendiri.
"Hari itu, ibunya berkata kepada saya, 'doktor tahu tak, baru-baru ini ada berita seorang ibu terjun laut bersama anaknya yang berumur tiga tahun. Saya pun pernah terfikir untuk buat begitu cuma saya ada tiga anak. Saya tak tahu nak peluk yang mana, jadi saya hentikan niat itu'.
"Dia menyebutnya dengan tenang, tetapi hati saya bergoncang. Saya hanya berharap, klinik saya boleh menjadi salah satu sebab untuk dia terus bertahan," katanya lagi.
Baginya, tidak semua perkara boleh diukur dengan wang termasuk rawatan kesihatan mental.
"Duit boleh dicari dengan banyak cara, tetapi peluang untuk menyelamatkan seseorang daripada tenggelam dalam kesakitan tidak datang setiap hari," tambahnya.
Kisah tersebut pada masa sama menyedarkannya agar sentiasa belajar untuk menjadi seorang bapa yang lebih lembut kepada anak perempuannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram