Ingat ya isteri bukan 'maid', sebelum kahwin belajar buat kerja rumah


  • Cinta
  • Selasa, 12 Ogos 2025

Lelaki perlu biasakan diri mengurus rumah sebelum memasuki alam rumah tangga. — Gambar Hiasan

ISU lelaki yang enggan melakukan kerja rumah kembali menjadi perbincangan hangat di media sosial selepas seorang anak bongsu meluahkan rasa penat kerana terpaksa mengurus hampir semua tugasan rumah secara sendirian.

Lelaki hanya dikenali sebagai l0l._.19d itu berkata, walaupun beliau anak bongsu, dialah memikul segala hal kerja rumah bermula daripada mencuci baju, menjemur kain, membuang sampah, mencuci peti sejuk, mengemas rumah, membersihkan halaman dan mencabut rumput. 

“Mentang-mentang aku work from home, semua kerja rumah aku kena buat,” katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Sembilan tahun jaga ibu strok, tapi aku tak pernah rasa sendirian', suami sanggup dukung ibu mentua penuh kasih sayang

BACA LAGI: Rugi kalau guna elektrik waktu puncak, wanita ini dedah cara mudah turunkan bil bulanan

Lebih mengecewakan, katanya, abang-abang lebih berusia bersikap lepas tangan sehingga beliau terpaksa membantu ibunya yang sudah berusia.

“Kalau saya tak buat, mak akan buat. Dia dah tua, mengeluh pun tetap buat. Takkan nak biar mak tua buat semua benda,” katanya. 

Luahan itu mengundang pelbagai reaksi warga maya yang rata-ratanya bersetuju bahawa lelaki perlu dilatih mengurus rumah sebelum memasuki alam berumah tangga.

Ramai menganggap lelaki yang mahir mengurus rumah bukan sahaja meringankan beban pasangan, malah membuktikan kematangan dan rasa tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Seorang pengguna, Solehin_03 menganggap rugi jika lelaki tidak tahu mengurus kerja rumah kerana perkara itu boleh menjadi kunci keharmonian rumah tangga. 

“Setiap kali isteri masak, aku cuci semua. Dia basuh kain, aku sidai. Dia kemas rumah, aku buang sampah. Seronok berumah tangga bila saling tolong-menolong,” katanya.

Bagi Amirulredza pula, sikap ringan tulang perlu dibentuk sejak bujang.

“Dah dua tahun berkahwin, satu nasihat saya kepada lelaki bujang ialah jangan layan isteri macam pembantu rumah. 

"Belajar cuci pinggan dan basuh baju sendiri. Saya bersihkan bilik air dan dapur, isteri pula kemas bilik dan ruang tamu,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Bourne pula menekankan bahawa didikan ibu bapa memainkan peranan penting.

“Semuanya bermula dari rumah. Ibu bapa kena ajar anak lelaki buat kerja rumah. Kalau tak, nanti jadi biawak hidup lepas kahwin,” katanya.

Isu itu turut dikaitkan dengan contoh positif yang ditonjolkan selebriti tanah air, Remy Ishak baru-baru ini. 

Dalam hantaran di laman TikTok, Remy Ishak menerima pujian ramai selepas berkongsi rutin hariannya sewaktu tidak memiliki penggambaran. 

Dalam rakaman terbabit, Remy bermulakan aktiviti harian dengan mandikan anak, menyiapkan pakaian, menghantar ke sekolah, bersenam, kemudiannya mengambil anak dan isterinya pulang kerja.

“Bila di rumah, aku ambil alih tugas untuk ringankan beban isteri. Dia tak pernah paksa, tapi aku anggap itu tanggungjawab. Aku memang tak boleh duduk diam,” katanya.

Bagi pengguna Xuraeiba, Remy mewakili golongan suami yang semakin jarang ditemui.

Impressive, suami pandai buat kerja rumah. Golongan minoriti sekarang,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram