
DALAM era ledakan digital hari ini, media sosial bukan sahaja menjadi platform untuk berhubung dan berkongsi maklumat, malah telah menjadi medan terbuka untuk meluahkan emosi, termasuklah kekecewaan dalam rumah tangga.
Trend membuka aib pasangan secara terbuka sangat membimbangkan apabila semakin ramai suami atau isteri memilih untuk ‘bercerita’ tentang masalah rumah tangga di media sosial.
Ketua Program Pengajian Akidah dan Agama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Marina Munira Abdul Mutalib berkata, perbuatan ini amat ditegah dalam Islam.
"Islam sangat melarang umatnya membuka, berkongsi atau menjaja aib pasangan. Tidak kira sama ada suami atau isteri, perbuatan ini bertentangan dengan prinsip menjaga maruah dan rahsia rumah tangga yang sangat ditekankan dalam agama,” ujar beliau kepada Majoriti.
Dr. Marina menjelaskan, perbuatan membuka aib pasangan bukan sekadar menyebarkan kelemahan pasangan, tetapi juga menghakis nilai mawaddah wa rahmah yang menjadi asas keharmonian rumah tangga.
Pasangan sebagai pakaian
Beliau turut merujuk ayat al-Quran dari Surah al-Baqarah ayat 187 yang bermaksud:
“Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka."
"Pakaian berfungsi melindungi, menutup aib dan memberikan ketenangan. Maka, membuka aib pasangan ibarat menanggalkan pakaian itu dan memperlihatkan segala kelemahan kepada khalayak. Tindakan ini bukan sahaja memalukan, malah mencalarkan maruah keluarga,” tegasnya.
Dr. Marina juga mengingatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi ALLAH pada Hari Kiamat adalah seorang lelaki (suami) yang bergaul dengan isterinya, kemudian menyebarkan rahsia isterinya tersebut.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Keberkatan rumah tangga tercemar
Menurut beliau lagi, perbuatan mendedahkan masalah rumah tangga di media sosial boleh menimbulkan pelbagai kesan negatif.
“Antaranya ialah timbulnya fitnah, prasangka, rasa rendah diri serta gangguan emosi terhadap anak-anak, hinggalah membawa kepada perceraian dan permusuhan berpanjangan.
“Perkara sedemikian juga mencemarkan keberkatan rumah tangga yang seharusnya dibina atas dasar iman dan takwa,” katanya.
Saluran keadilan dan batas syariat
Bagaimanapun tambah beliau, Islam tidak menafikan hak pasangan yang dizalimi untuk mencari keadilan, namun ia perlu dilakukan mengikut batas syariat.
“Perlu diketahui Islam membenarkan perkongsian masalah rumah tangga tetapi mestilah kepada pihak yang mempunyai autoriti dan niat yang jelas untuk menyelesaikan konflik.
“Ia bukan untuk membuka aib semata-mata. Antara saluran yang dibenarkan termasuklah menggunakan perkhidmatan kaunselor bertauliah, menceritakan masalah kepada ahli keluarga yang dipercayai, membuat aduan di Mahkamah Syariah atau mendapatkan pandangan ilmuan agama.
“Tindakan ini selari dengan prinsip Islam yang menggalakkan penyelesaian secara hikmah dan tertutup, agar tidak mencetuskan fitnah atau memanjangkan konflik dalam rumah tangga,” jelas Dr. Marina lagi.
Dr. Marina (gambar kecil) menyarankan seharusnya masyarakat perlu lebih beradab dengan meletakkan maruah diri dan keluarga sebagai sesuatu yang sangat bernilai. — Gambar hiasan/Freepik
Luahan di media sosial buka ruang mudarat
Mengulas lanjut, Dr. Marina memberitahu, ramai pasangan memilih untuk meluahkan masalah di media sosial kerana ia percuma, mudah dan cepat mendapat respon daripada warga maya.
“Tambahan pula, ketika marah, seseorang sukar berfikir secara rasional dan media sosial menjadi tempat melepaskan segala rasa.
“Namun, ini bukan penyelesaian sebenar, sebaliknya ia akan membuka lebih banyak ruang kepada kemudaratan kepada pasangan.
“Jadilah masyarakat yang lebih beradab. Letakkan maruah diri dan keluarga sebagai sesuatu yang sangat bernilai,” tegas beliau.
Peranan suami isteri dalam era digital
Bagi memperkasa keharmonian rumah tangga dalam era digital, pasangan suami isteri digalakkan mendalami ilmu rumah tangga, merujuk kepada guru yang mursyid dan memperbanyakkan amalan
“Antara yang utama ialah melakukan solat berjemaah bersama pasangan dan anak, membaca al-Quran serta mewujudkan suasana tenang di dalam rumah.
“Jika berdepan perselisihan, institusi seperti Mahkamah Syariah juga menyediakan Khidmat Bantuan Sokongan Keluarga untuk membantu pasangan yang menghadapi konflik,” katanya.
Ilmu, komunikasi Islam asas kedamaian
Tambah Dr. Marina, ilmu agama dan komunikasi berteraskan adab Islam amat penting dalam membentuk hubungan yang matang.
“Justeru, dalam menghadapi ujian rumah tangga, pasangan perlu bersikap rasional, menjaga tutur kata dan bersangka baik dengan ALLAH SWT.
“Sekiranya berlaku kegagalan dalam perkahwinan, pasangan tersebut perlu sedar bahawa mereka masih mempunyai tanggungjawab sebagai ibu dan bapa yang baik kepada anak-anak,” jelasnya.
Doa dan harapan
Sebagai kesimpulan, Dr. Marina mengingatkan agar pasangan yang diuji sentiasa bersabar dan memohon petunjuk ALLAH melalui solat Istikharah dan memperbanyakkan doa.
“Satu yang pasti, trend membuka aib pasangan di media sosial bukan sahaja merosakkan institusi keluarga, tetapi juga mencemarkan ajaran Islam yang mementingkan adab, maruah dan kasih sayang.
“Maka, setiap pasangan suami isteri perlu kembali kepada ajaran agama dan carilah penyelesaian melalui saluran yang betul dan diberkati,” tegasnya menutup bicara.
1. Doa agar dikurniakan pasangan dan anak-anak yang menyejukkan hati:
Surah Al-Furqan, ayat 74:
ربنا هب لنا مِن أزوٰجِنا وذُرِيـٰتِنا قُرة أعيُنٍ وٱجعلنا لِلمُتقِين إِماما
“Wahai TUHAN kami, kurniakanlah kepada kami pasangan-pasangan kami dan zuriat keturunan kami sebagai penyejuk hati, dan jadikanlah kami imam (ikutan) bagi orang-orang yang bertakwa.”
2. Doa memohon cinta dan kasih sayang:
Surah Al-Imran, ayat 8:
ربنا لا تُزِغ قُلُوبنا بعد إِذ هديتنا وهب لنا مِن لدُنك رحمة ۚ إِنك أنت ٱلوهابُ
“Wahai TUHAN kami! Janganlah ENGKAU condongkan hati kami kepada kesesatan setelah ENGKAU memberi petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-MU. Sesungguhnya EENGKAU Maha Pemberi.”
3. Doa Nabi SAW untuk mengikat kasih suami isteri:
اللهُم ألِف بين قُلُوبِنا, وأصلِح ذات بينِنا, واهدِنا سُبُل السلامِ...
“Ya ALLAH, satukanlah hati-hati kami, perbaikilah hubungan di antara kami dan tunjukilah kami jalan-jalan keselamatan…” (Hadis Riwayat Ahmad)
Tip amalan harian kebahagiaan rumah tangga:
- Bacaan Al-Fatihah (1x) diniatkan untuk suami/isteri setiap pagi.
- Zikir Ya Wadud (يا ودُودُ) (100x) sehari untuk menjemput kasih sayang.
- Solat berjemaah (sekurang-kurangnya Subuh dan Isyak). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram