
DALAM institusi perkahwinan, suami bertindak sebagai ketua keluarga dan pencari nafkah utama.
Namun, perubahan sosial dan ekonomi membawa kepada fenomena di mana semakin ramai wanita yang menyara keluarga, malah ada yang memperoleh pendapatan lebih tinggi daripada suami.
Perkara ini menimbulkan pelbagai implikasi dari segi peranan dalam rumah tangga serta psikologi lelaki yang mungkin berasa tercabar dengan keadaan ini.
BACA LAGI: Demi kesejahteraan mental, wanita perlu berani keluar zon penderaan elak risiko kemurungan
Dr. Salina Nen
Menurut Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia (Psitra), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Salina Nen, suami tetap mempunyai tanggungjawab dalam menyediakan nafkah kepada keluarga, walaupun pendapatan mereka lebih rendah berbanding isteri.
"Walaupun dalam rumah tangga itu pendapatan isteri mungkin lebih tinggi daripada suami, pada saya sebenarnya suami mesti boleh menyumbang secara signifikan. Jangan pula mengambil kesempatan. Suami kena bekerja dalam satu pasukan," katanya kepada Majoriti
Tegasnya, perkahwinan memerlukan kerjasama dan pembahagian tanggungjawab yang adil antara suami dan isteri.
Dalam banyak kes, suami yang tidak mempunyai kesedaran terhadap tanggungjawab ini mungkin menyerahkan sepenuhnya peranan kewangan kepada isteri.
Menurut Dr. Salina, walaupun isteri pada awalnya mungkin tidak kisah untuk membantu, lama-kelamaan mereka akan merasakan beban tersebut terlalu berat, seterusnya mencetuskan ketidakpuasan hati.
"Wanita ini pemurah, boleh bantu suami ketika susah, tetapi jika suami membiarkan isteri menanggung segalanya, ia boleh menyebabkan konflik dalam rumah tangga. Apabila bergaduh, isteri akan membangkitkan isu ini, menyebabkan ketegangan dalam hubungan," jelas beliau.
Kenapa suami rasa tercabar?
Satu lagi aspek yang sering menimbulkan konflik adalah melibatkan situasi lelaki yang rasa tercabar apabila isteri memperoleh pendapatan lebih tinggi.
Dr. Salina menyifatkan situasi tersebut sebagai ego.
"Saya rasa benda ni berlaku kalau lelaki tidak berjiwa besar. Daripada perspektif positif, sepatutnya mereka perlu menganggap ia satu kelebihan.
"Maksudnya, kehidupan rumah tangga akan jadi lebih baik kerana dua-dua sudah ada pendapatan yang baik, jadi ia lebih kepada egolah," jelasnya.
Beliau turut menyentuh tentang pengalamannya mengendalikan kes-kes di mana suami merasa terancam dengan kejayaan akademik atau kerjaya isteri.
"Saya pernah ada klien, seorang wanita yang sedang buat PhD, dan bila dia bergaduh dengan suami, suami akan cakap 'Iyalah, awak tu belajar tinggi, awak dah pandai sangat.'
"Ini adalah bentuk kurang keyakinan yang boleh menyebabkan tekanan mental kepada isteri."
Suami yang mudah rasa tercabar boleh menyebabkan tekanan kepada isteri. — Gambar hiasan/Freepik
Jalan penyelesaian
Untuk mengelakkan konflik rumah tangga akibat perbezaan pendapatan dan peranan, Dr. Salina menekankan kepentingan kesedaran dan sikap berjiwa besar dalam diri suami.
Lelaki harus menerima perubahan ini secara positif dan melihatnya sebagai satu kelebihan, bukan ancaman.
"Kalau lelaki masih melihat bahawa bila berkahwin, suami kena lebih tinggi daripada isteri dalam segala aspek, dia akan rasa terancam bila isteri lebih berjaya.
"Walhal, itu adalah satu perkara yang baik, kerana ia membawa manfaat kepada keluarga secara keseluruhan," ujarnya.
Selain itu, beliau juga menekankan bahawa pendidikan dari kecil memainkan peranan penting dalam membentuk sikap lelaki terhadap tanggungjawab rumah tangga.
"Kadang-kadang, kita masih ada mentaliti tradisional di mana anak lelaki tidak perlu buat kerja rumah. Apabila dah besar, mereka tidak biasa membantu dan akhirnya beban rumah tangga jatuh kepada isteri.
"Kalau kita nak hentikan kitaran ini, kita kena mula dari kecil dengan mengajar anak lelaki dan perempuan sama-sama bertanggungjawab," ujarnya.
Melalui temu bual ini, ia jelas menunjukkan institusi rumah tangga yang harmoni memerlukan kesedaran daripada kedua-dua pihak, terutama dalam soal kewangan dan pengagihan tugas.
Suami tidak boleh merasa ego tercabar hanya kerana isteri memperoleh pendapatan lebih tinggi, sebaliknya harus berusaha untuk tetap menyumbang dan bekerjasama sebagai satu pasukan.
Sikap saling menghormati dan memahami peranan masing-masing adalah kunci untuk memastikan rumah tangga yang bahagia dan berkekalan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram