
YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan penghargaan dan doa tulus sempena ulang tahun kelahiran Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah pada Rabu.
Menerusi hantaran di media sosial rasmi, Seri Paduka Baginda bertitah agar isteri tercinta sentiasa berada di bawah lindungan ALLAH SWT.
“Happy birthday to my lovely wife (selamat hari lahir kepada isteri saya yang tercinta), Raja Zarith Sofiah.
"Semoga sentiasa berada di bawah lindungan Ilahi, dikurniakan kesihatan yang baik, kebahagiaan tanpa penghujung dan kekuatan untuk terus memberi inspirasi serta menyentuh hati insan lain dengan sifat mulia baginda,” titah Sultan Ibrahim.
BACA LAGI: 'Berdiri tepi tingkap kelas tadika', nukilan Raja Zarith Sofea kenang zaman kanak-kanak TMJ
BACA LAGI: Raja Permaisuri Agong lancar blog 'Lessons from Life', wadah perkongsian pendapat buat rakyat jelata
Ucapan itu menerima perhatian ramai rakyat Malaysia yang turut mengucapkan selamat ulang tahun kepada Raja Permaisuri Agong, sambil mendoakan kesejahteraan dan keberkatan hidup Seri Paduka Baginda.
Raja Zarith Sofiah yang terkenal dengan sifat rendah diri, kepedulian terhadap rakyat dan penglibatan aktif dalam pelbagai program kebajikan serta pendidikan, terus menjadi simbol inspirasi dan kasih sayang di hati rakyat jelata.
Berikut Majoriti kongsikan beberapa fakta menarik mengenai Raja Zarith Sofiah.
1) Dilahirkan pada 14 Ogos 1959 di Hospital Batu Gajah, Perak, baginda merupakan puteri kedua serta anakanda ketiga kepada Almarhum Sultan Idris Shah II dan Raja Perempuan Muzwin.
2) Pada September 1972, baginda melanjutkan pengajian di Cheltenham Ladies College di England hingga tamat Tingkatan Enam.
3) Pada 1977, baginda kemudian meneruskan pengajiannya di Davies College, London seterusnya diterima masuk ke Somerville College, Universiti Oxford pada 1978.
Raja Permaisuri Agong (kiri) berkenan berangkat ke Majlis Santapan Tengah Hari bersama warga Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Anggota (BAKAT) 21 Gerup Gerak Khas (GGK) di Kem Iskandar, Mersing pada Ahad lalu. — Facebook/Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
4) Menerima Ijazah Kehormat dalam bidang Kesusasteraan daripada University of Nottingham pada Julai 2017.
5) Menjadi Raja Permaisuri Agong Malaysia bermula 31 Januari 2024, dengan istiadat pertabalan berlangsung pada 20 Julai 2024.
6) Seorang penulis prolifik yang telah menghasilkan buku kanak-kanak dan kolum seperti On Common Ground dan Mind Matters.
7) Merupakan peminat bahasa, baginda telah mempelajari beberapa bahasa asing termasuk Mandarin, Perancis dan Itali.
Raja Zarith Sofiah (tengah) dilantik sebagai Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang ke-4. — UTM
8) Memegang jawatan seperti Pengerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor, Pengerusi Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ) dan Penasihat Diraja Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia.
9) Aktif dalam bidang kesenian, baginda menonjolkan minat dalam lukisan dan pernah terlibat dalam pameran seni antaranya di Yayasan Warisan Johor.
10) Seri Paduka Baginda dilantik sebagai Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang ke-4 dan pernah melancarkan pelbagai inisiatif kebajikan tinggi akademik seperti Raja Zarith Sofiah Centre for Advanced Studies on Islam, Science and Civilisation (RZS-CASIS).
11) Melancarkan blog bertajuk Lessons from Life pada 2 Ogos lalu, yang memaparkan pandangan dan perspektif Raja Zarith Sofiah mengenai isu semasa dalam bentuk penulisan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram