
PERSATUAN Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) menyasarkan untuk menyalurkan bantuan keseluruhan sebanyak RM150,000 kepada rumah kebajikan terpilih menerusi program golf amal Pekema Charity Golf – President’s Cup yang bakal diadakan di Palm Garden Golf Club, Putrajaya pada 23 dan 24 Ogos depan.
Timbalan Presiden Pekema, Datuk Wan Sazrudeen Datuk Wan Zaid berkata, pihaknya masih dalam proses menyenaraikan penerima rumah kebajikan yang layak menerima bantuan hasil kutipan program golf amal berkenaan.
BACA LAGI: Kempen golf ‘Swing for Pink’ bantu kumpul dana saringan kanser PPUM untuk golongan B40
Wan Sazrudeen berkata, Yayasan Pekema menyalurkan bantuan secara terus kepada penerima, bukan kepada mana-mana persatuan atau yayasan.
"Pekema jangka jumlah keseluruhan sekitar RM150,000. Namun, obviously angka itu boleh meningkat bergantung kepada jumlah penajaan yang diterima.
"Antara pihak yang sedang dipertimbangkan termasuklah ahli-ahli Persatuan Karyawan Malaysia dan beberapa rumah kebajikan serta komuniti golongan B40," katanya kepada Majoriti.
Ditanya sama ada, Pekema ada meneliti untuk membantu Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Wan Sazrudeen berkata, pihaknya sedia untuk bekerjasama bagi menyalurkan bantuan kepada bekas atlet negara yang juga ahli yayasan.
“Setakat ini, Yakeb belum lagi dimasukkan dalam senarai penerima bantuan secara rasmi. But we can take that one up. Kita terbuka untuk meneliti dan mempertimbangkannya,” ujarnya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa sumbangan yang disalurkan oleh Yayasan Pekema tidak hanya tertumpu kepada program-program seperti golf amal, sebaliknya diberikan secara konsisten kepada penerima dalam kategori B40.
“Setiap bulan, Yayasan Pekema memang menyalurkan bantuan secara langsung kepada golongan B40. Dana tersebut kita salurkan terus kepada penerima, bukan kepada mana-mana persatuan atau yayasan,” jelas beliau.
Kereta elektrik Dongfeng Box — EV rasmi Pekema bakal menanti peserta yang memenangi hadiah hole-in-one.
Malah, tambahnya, sebarang kerjasama dengan entiti seperti Karyawan juga akan dibuat secara telus dan memastikan bantuan sampai kepada individu yang benar-benar memerlukan.
Dengan moto 'Your Contributions Have Touched Many Lives', Pekema Charity Golf merupakan kejohanan amal berprestij yang menjadi acara tahunan yang sinonim dengan semangat keusahawanan, jaringan strategik dan komitmen kebajikan persatuan itu.
Memasuki edisi ke-11, penganjuran program golf amal itu akan mengambil tempat di Palm Garden Golf Club, Putrajaya pada 23 dan 24 Ogos depan dengan hadiah lumayan berjumlah keseluruhan lebih RM500,000 menanti pemenang bertuah.
Pertama kali dianjurkan di luar Sabah sejak diperkenalkan pada 2006, ia bakal menghimpunkan hampir 500 pemain golf amatur dengan lokasi baharu itu dilihat mampu memberikan nafas segar kepada penganjuran di samping membuka peluang lebih luas untuk penyertaan dari seluruh negara.
Kali ini, Pekema menawarkan empat buah kereta elektrik Dongfeng Box di Lubang 7, 12, 14 dan 17 selain wang tunai RM28,888 bagi Lubang 2 untuk hadiah hole-in-one. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram