[VIDEO] 'Saya sedih lihat dugaan dihadapi Amir, ayah tengah sakit', Zizan percaya rezeki perlu dikongsi


  • Maya
  • Ahad, 10 Ogos 2025

Selain mengenali Amir (kanan) sebagai rakan seperjuangan, Zizan mengakui rasa kagum dengan usaha gigih pelawak itu yang sentiasa berusaha mencari rezeki melalui pelbagai cara.

BAGI pelakon dan penyanyi, Zizan Razak, insiatifnya menghulurkan sumbangan kepada rakan industri, Amir Raja Lawak susulan bapanya menghidap kanser usus bukanlah untuk dihebahkan.

Sebaliknya, dilakukan atas dasar kemanusiaan dan ikhlas kerana ALLAH SWT.

“Saya pun terkejut (hantaran Facebook Amir) tapi tak mengapa, itu hak dia.

"Saya hanya buat terbaik dengan apa ALLAH SWT beri. Saya percaya rezeki ini bukan milik kita semata-mata, sebaliknya untuk dikongsi," kata selebriti berusia 41 tahun itu kepada Majoriti baru-baru ini.

BACA LAGI: 'Bincang dulu sebelum up posting', Amir Raja Lawak tegur niat baik ustaz mahu bantu ayah sakit, elak dianggap ‘marketing’

BACA LAGI: [VIDEO] Kecewa bisnes kerap ditipu, fans sokong projek kurta Zizan Razak siap minta buat 'plus size', kain pelekat

Zizan kini menjalani penggambaran filem biografi berkenaan Karamjit Singh, arahan Keng Guang. — Instagram/zizanrazak869 

Tidak mempunyai sebarang niat lain, beliau sebaliknya sedih melihat dugaan besar yang menimpa Amir, ditambah dengan keadaan bapanya yang sakit.

Justeru ujar Zizan atau Mohd Razizan Abdul Razak, apa sahaja yang mampu membantu akan diusahakan demi memberi sedikit senyuman kepada rakannya itu.

"Saya sedih tengok dengan kes dia lagi, dengan ayahnya macam itu (sakit ), dugaan besar.

"Jadi apa yang ada, saya cuba bantu. Mungkin itu dapat memberi senyuman sikit pada dia, saya buat sajalah," akuinya.

Menurut Zizan, selain mengenali Amir sebagai rakan seperjuangan, beliau kagum dengan usaha gigih pelawak itu yang sentiasa berusaha mencari rezeki melalui pelbagai cara termasuk menguruskan kedai makan dan menjual pelbagai produk.

Jelas beliau, bantuan tidak semestinya berbentuk wang, sebaliknya nasihat, kudrat dan senyuman juga dianggap sebagai satu bentuk sumbangan.

“Nilai utama adalah keikhlasan, bukan jumlah yang diberi,” ujarnya.

Tambah pelakon filem Polis Evo itu lagi, tindakan membantu rakan dalam kesusahan juga boleh menjadi inspirasi kepada individu lain untuk turut sama menghulurkan bantuan.

Sebelum ini, Amir atau nama sebenarnya,  Mohammad Amirullah Azmi, 36, menerusi Facebook miliknya meluahkan rasa terharu terhadap keprihatinan selebriti kelahiran Dungun, Terenggan itu terhadap masalah dialami beliau dan bapanya.

Dalam perkembangan lain, Zizan kini menjalani penggambaran filem biografi tokoh rali negara, Karamjit Singh, arahan pengarah, Chiu Keng Guang yang pernah menghasilkan filem Ola Bola dan The Journey.

"Saya memegang watak Imran, mekanik sebenar Karamjit dalam dunia nyata.

“Ini antara tawaran saya tidak boleh tolak kerana ia projek besar untuk Malaysia. Dunia nanti akan tahu siapa Karamjit Singh.

“Penggambaran sudah bermula sekitar seminggu lalu di Malaysia, Insya-ALLAH Indonesia, yang terakhir mungkin kita buat penggambaran dekat New Zealand," kongsinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram