Dulu cuma serang golongan putus haid, kanser endometrium kini ancaman serius wanita muda — Pakar


  • Sihat
  • Khamis, 03 Jul 2025

Pemeriksaan berkala sangat penting, terutama bagi mereka yang mempunyai faktor risiko seperti berat badan berlebihan atau sejarah keluarga. — Gambar Hiasan/Janaan Ai

KANSER endometrium atau kanser korpus uteri kini bukan lagi penyakit yang hanya menyerang wanita berusia.

Sebaliknya, semakin ramai wanita muda bawah usia 50 tahun dikesan menghidap penyakit itu, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pakar kesihatan.

Menurut Pakar Perunding Ginekologi, Obstetrik dan Onkologi Pusat Perubatan Sunway, Dr Andi Anggeriana Andi Asri, situasi itu mengejutkan kerana kanser berkenaan sebelum ini lebih lazim dalam kalangan wanita yang sudah menopaus.

BACA LAGI : [VIDEO] Di sebalik tragedi Juliana Marins, pendaki wanita Malaysia rupanya turut membantu misi SAR guna dron

BACA LAGI : Ketagihan kuasa, anggap pembantu rumah 'barang kerja' punca majikan jadi kaki dera — Pakar

"Kami lihat peningkatan ketara kes kanser endometrium dalam kalangan wanita berumur bawah 50 tahun, termasuk yang baru memasuki usia 30-an," katanya dalam satu kenyataan pada Majoriti.

Dr Andi Anggeriana Andi Asri

Katanya, peningkatan itu juga berkait rapat dengan beberapa faktor seperti obesiti, gaya hidup tidak aktif dan masalah hormon seperti sindrom ovari polisistik (PCOS) yang menyebabkan paras hormon estrogen menjadi tinggi.

"Estrogen berlebihan boleh menyebabkan lapisan rahim menjadi tebal, dan itu berisiko membawa kepada kanser," jelasnya.

Simptom awal yang sering diabaikan

Dr Andi berkata, gejala utama yang paling kerap dilaporkan ialah pendarahan rahim yang tidak normal, sama ada selepas menopaus atau di luar waktu haid.

Gejala lain termasuk sakit di bahagian pelvis, penurunan berat badan tanpa sebab jelas, keputihan luar biasa, serta rasa sakit ketika membuang air kecil atau bersama suami.

"Ada pesakit muda yang datang semata-mata untuk pemeriksaan kesuburan, tapi akhirnya menerima berita bahawa mereka menghidap kanser rahim. Ini amat meruntun perasaan," katanya.

Ancaman kepada kesuburan

Semakin ramai wanita muda bawah usia 50 tahun dikesan menghidap kanser endometrium. — Grafik Janaa Ai 

Tambah beliau, antara cabaran terbesar apabila penyakit ini menyerang wanita muda ialah berkaitan isu kesuburan dan emosi.

"Ramai belum berkahwin atau belum ada anak. Jadi apabila perlu menjalani rawatan seperti membuang rahim, ia satu tamparan hebat secara fizikal dan emosi," katanya.

Walau bagaimanapun, bagi kes yang dikesan awal, pesakit masih berpeluang menjalani rawatan yang mengekalkan fungsi rahim seperti terapi hormon, namun ia memerlukan pemantauan ketat.

Pembedahan robotik bantu rawatan

Rawatan kanser endometrium disesuaikan berdasarkan keadaan pesakit, termasuk peringkat dan gred kanser, umur pesakit, dan keinginan mereka untuk mengekalkan kesuburan.

Rawatan utama adalah melalui pembedahan yang melibatkan histerektomi total dan mungkin juga penyingkiran nodus limfa, diikuti dengan kemoterapi dan rawatan radiasi, bergantung kepada peringkat kanser.

Selain itu, terdapat juga terapi bersasar yang menggunakan ubat-ubatan. Bagi kanser di peringkat awal, terapi hormon mungkin menjadi pilihan wanita muda yang ingin mengekalkan kesuburan mereka.

Bagaimanapun, Dr Andi memberi amaran bahawa pemantauan yang teliti diperlukan kerana adakalanya ia mengawal kanser dengan lebih lama sehingga menyukarkan wanita tersebut mendapatkan zuriat.

Pusat Perubatan Sunway turut menawarkan pembedahan dengan bantuan robotik yang membantu doktor membuang tisu kanser dengan lebih tepat dan kurang invasif. — Gambar Hiasan/SunwayHospital

Seiring kemajuan teknologi, Pusat Perubatan Sunway turut menawarkan pembedahan dengan bantuan robotik yang membantu doktor membuang tisu kanser dengan lebih tepat dan kurang invasif.

"Pembedahan robotik membolehkan luka lebih kecil, kurang sakit dan masa pemulihan lebih cepat. Ini penting khususnya bagi wanita aktif dan yang ingin kembali bekerja dalam tempoh singkat," jelas Dr Andi.

Beliau turut menasihatkan wanita agar tidak memandang ringan sebarang simptom luar biasa dan segera menjalani pemeriksaan.

"Pemeriksaan berkala sangat penting, terutama bagi mereka yang mempunyai faktor risiko seperti berat badan berlebihan atau sejarah keluarga," katanya.

"Lebih awal ia dikesan, lebih tinggi peluang sembuh dan kemungkinan untuk mengekalkan kesuburan," katanya menutup bicara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram