
BAGI sesetengah individu, usaha untuk berhenti merokok atau menghisap vape (rokok elektronik) bukanlah sesuatu yang mudah.
Ia bukan sekadar soal keazaman, tetapi turut melibatkan cabaran fizikal dan emosi yang boleh mengganggu rutin harian.
Lebih membimbangkan, proses menghentikan tabiat itu sering disertai dengan pelbagai kesan sampingan yang berbeza pada setiap individu dan semuanya akibat gejala penarikan nikotin (nicotine withdrawal).
BACA LAGI: Merokok, faktor genetik punca kanser payudara dalam kalangan lelaki — Pakar
Namun begitu, dengan sokongan perubatan dan rawatan bersesuaian, usaha untuk meninggalkan ketagihan tersebut tidak mustahil untuk dicapai.
Malah, semakin ramai yang tampil berkongsi pengalaman masing-masing di media sosial, termasuk cabaran yang mereka hadapi ketika cuba berhenti menghisap vape.
Terbaharu, seorang pengguna platform Threads, @mamatgotnochill mengundang perhatian apabila meluahkan rasa bimbang terhadap perubahan fizikal yang dialaminya selepas mengurangkan penggunaan vape secara berperingkat.
Menurutnya, dalam beberapa hari percubaannya untuk mengurangkan ketagihan itu, dia mengalami sesak nafas dan sakit perut yang tidak dijangka.
Simpton yang dialaminya itu, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada tindakannya betul atau sebaliknya.
"Ada tak doktor kat sini? Tolonglah bagi saya nasihat cara nak berhenti vape dengan betul. Sebab saya dah cuba kurangkan vape dalam beberapa hari ni, tapi nafas saya jadi pendek, perut saya macam sakit. Kenapa ya?" tulisnya.
Respons terhadap hantaran tersebut turut menerima reaksi positif daripada pengguna lain, termasuk seorang individu bernama Azue Hamdan.
Azue Hamdan menjelaskan simptom tersebut adalah biasa bagi mereka yang mengalami penarikan nikotin, dan rawatannya memang tersedia secara klinikal.
“Apa yang saudara rasai sekarang adalah simptom penarikan nikotin. Dan ada rawatan untuk itu, iaitu terapi penggantian nikotin atau nicotine replacement therapy (NRT),” katanya.
Wanita itu turut menyatakan sokongan moral dan mendoakan agar proses berhenti vape individu berkenaan dipermudahkan, sambil menyifatkan usaha tersebut sebagai contoh keberanian dan kekuatan diri.
“Semoga ramai lagi manusia hebat seperti beliau yang berjaya berhenti merokok dan vape. Harap nanti bila dia berjaya, dia boleh beri pengaruh positif kepada orang lain pula,” tambahnya.
Pakar kesihatan awam sebelum ini turut memberi amaran bahawa vape bukanlah alternatif yang lebih selamat berbanding rokok, sebaliknya mengandungi nikotin yang tinggi dan boleh menyebabkan ketagihan berpanjangan.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Garis Panduan Berhenti Merokok mencadangkan pendekatan seperti kaunseling, rawatan sokongan dan penggunaan produk NRT seperti lozeng, tampalan nikotin dan inhaler bagi membantu mereka yang ingin berhenti merokok dan vape.
Orang ramai yang ingin mendapatkan bantuan boleh menghubungi talian Infoline Berhenti Merokok KKM di 03-8883 4400 atau hadir ke klinik berhenti merokok terdekat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram