Tawar hadiah lebih RM500,000, kereta elektrik Dongfeng Box menanti peserta Pekema Charity Golf edisi ke-11


  • Podium
  • Rabu, 06 Ogos 2025

Mohamed Nazari (kanan) dan ahli tertinggi Pekema pada majlis pengumuman hadiah Pekema Charity Golf 2025 - President's Cup di Cyberjaya.

HADIAH lumayan berjumlah keseluruhan lebih RM500,000 menanti pemenang bertuah acara Charity Golf – President’s Cup anjuran Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) bertempat di Palm Garden Golf Club, Putrajaya pada 23 dan 24 Ogos depan.

Presidennya, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, ganjaran berprestij itu termasuk hadiah hole-in-one berupa empat buah kereta elektrik Dongfeng Box — EV rasmi Pekema.

Beliau berkata, selain itu, hadiah wang tunai berjumlah RM28,888 juga bakal menanti peserta bertuah menerusi penganjurannya yang julung-julung kali diadakan di Semenanjung Malaysia pada edisi ke-11.

BACA LAGI: Kempen golf ‘Swing for Pink’ bantu kumpul dana saringan kanser PPUM untuk golongan B40

BACA LAGI: Malga komited perluas akses golf kepada wanita luar bandar, pemain muda

Mohamed Nazeri (berbaju putih) dan Wan Sazrudeen (berdiri depan, tiga dari kiri) memegang piala Pekema Charity Golf 2025 - President's Cup.

Menurutnya, kesemua 10 edisi terdahulu dianjurkan di Sabah, yang menjadi negeri kelahiran kejohanan berprestij itu.

"Tahun ini menandakan satu detik bersejarah apabila kejohanan ini dibawa ke Semenanjung Malaysia buat pertama kalinya, bertempat di Palm Garden Golf Club.

"Lokasi baharu ini bukan sahaja memberikan nafas segar kepada penganjuran, malah turut membuka peluang lebih luas untuk penyertaan dari seluruh negara serta pemain antarabangsa," katanya dalam sidang media di Cyberjaya pada Rabu.

Kejohanan yang memasuki edisi ke-11 dijangka menghimpunkan hampir 500 pemain golf amatur di seluruh Malaysia dan antara penganjuran golf amatur terbesar di Malaysia.

Penganjuran selama dua hari melibatkan penyertaan ahli-ahli Pekema, para pembekal dari luar negara, usahawan dan pelanggan serta rakan perniagaan persatuan itu.

Mohamed Nazari berkata, hadiah cabutan bertuah Grand Lucky Draw melibatkan turut menanti tiga pemenang bertuah dengan masing-masing berjumlah RM20,000 (1 pemenang), RM5,000 (1 pemenang) dan RM3,000 (1 pemenang).

Katanya, cabutan bertuah dalam bentuk wang tunai turut disediakan kepada pemenang lain dengan jumlah RM1,000 (7 pemenang), RM500 (32 pemenang) dan RM300 (45 pemenang).

Hadiah utama, ujarnya, sudah tentu juara President’s Cup yang bakal membawa pulang trofi kemenangan.

"Hadiah lain meliputi Overall Winner (5 pemenang), Kategori Medal A, B, C, Ladies dan Senior dengan masing-masing lima hadiah bagi setiap kategori," katanya.

Turut disediakan ialah hadiah Novelty Prizes, Nearest to Pin, Longest Drive dan Nearest to the Line dengan lapan hadiah untuk setiap sesi.

Selain itu, setiap peserta akan menerima beg cenderamata bernilai RM500.

Kereta elektrik Dongfeng Box — EV rasmi Pekema bakal menanti peserta yang memenangi hadiah hole-in-one.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazari berkata, kejohanan itu bukan sahaja memperkukuhkan jaringan industri tetapi juga menjadi platform bagi pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Pekema Charity Golf bukan sekadar acara sukan malah ia merupakan platform penting untuk merapatkan hubungan usahawan, pemimpin industri dan agensi kerajaan, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif," katanya.

Tambah beliau, sebahagian kutipan daripada kejohanan itu akan disalurkan kepada rumah- rumah kebajikan dan organisasi kebajikan terpilih bagi membantu golongan memerlukan.

"Syarikat atau organisasi yang ingin tampil sebagai penaja amat dialu-alukan bagi meningkatkan keterlihatan jenama mereka di samping menunjukkan komitmen terhadap CSR.

"Melalui dana yang dikumpulkan, Pekema akan menyalurkan sumbangan kepada golongan memerlukan serta membiayai pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan komuniti," ujarnya.

Setakat ini, penyertaan penaja amat memberangsangkan dengan penglibatan beberapa jenama terkemuka dari dalam dan luar negara yang telah menyatakan sokongan mereka terhadap kejohanan ini.

Antara penaja yang telah mengesahkan penyertaan termasuk TOA Trading Co. Ltd, Cuscapi Solutions Sdn Bhd, Heiwa Auto Co. Ltd, Trendy Information Co. Ltd, Maybank, Allianz General Insurance Company, Bank Simpanan Nasional (BSN), Northport, Dagang Net Technologies dan Farm Fresh.

Komitmen yang ditunjukkan oleh syarikat-syarikat terbabit mencerminkan keprihatinan sektor korporat dalam menyokong inisiatif kebajikan melalui sukan.

Edisi ke-11 Pekema Charity Golf 2025 - President's Cup menawarkan hadiah kereta elektrik Dongfeng Box.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Pekema, Datuk Wan Sazrudeen Datuk Wan Zaid berkata, penyertaan yang diterima sangat memberangsangkan dengan setakat ini, hampir 110 flight daripada 120 flight sudah ditempah.

Katanya, acara itu melambangkan semangat keusahawanan, kemajuan teknologi automotif dan keprihatinan sosial.

"Kami percaya kemajuan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat mampu bergerak seiring.

"Ia juga menjadi cerminan nilai-nilai murni Pekema dalam menyantuni masyarakat dan menyumbang kembali kepada komuniti secara berterusan," katanya.

Penyertaan masih dibuka kepada individu dan pasukan korporat dengan yuran penyertaan berjumlah RM5,000 per flight (untuk pemain golf amatur sahaja).

Peserta bakal menerima green fees, buggy (berkongsi), kedi golf, baju-T rasmi, beg cenderahati premium, makan tengah hari dan makan malam.

Pendaftaran boleh dibuat melalui pautan pendaftaran rasmi atau imbas kod QR pada poster Pekema Charity Golf 2025.

Majlis penyampaian hadiah dan makan malam gala pula akan diadakan di Hotel Marriot Putrajaya pada 24 Ogos ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram