Suami boleh menikah walau isteri pertama tidak setuju? Jangan panik, pertahan hak di mahkamah


  • Massa
  • Selasa, 04 Feb 2025

Poligami bukan sekadar isu, tetapi hak yang harus dijaga. — Gambar hiasan

POLIGAMI adalah isu sering mencetuskan pelbagai perasaan dalam kalangan wanita, terutamanya isteri pertama yang terpaksa menghadapi kenyataan bahawa suami mereka ingin berkahwin baharu.

Tidak dinafikan, ia menimbulkan kemarahan, kesedihan dan rasa tidak adil. Namun, bagi wanita yang berada dalam situasi ini, bagaimana cara terbaik untuk mengendalikan emosi dan apakah tindakan perlu diambil agar hak mereka terjamin?

Menurut Peguam Syarie, Fatimah Majemi, terdapat beberapa langkah boleh dilakukan oleh isteri apabila suami memohon berpoligami.

BACA LAGI: Pelakon Que Haidar, Linda Jasmin sah cerai talak satu lepas 15 tahun perkahwinan

BACA LAGI: 'Tiada lagi netizen kacau saya', Jehan Miskin sudah penat jadi artis, hidup tenang sebagai pengarah komersial

MJ DOUBLE PIX - 1

Menurut Fatimah, keizinan untuk suami berpoligami tidak terletak pada isteri, sebaliknya mahkamah menentukan.

Salah satu persoalan utama sering berlegar dalam fikiran wanita adakah suami perlu mendapatkan izin isteri untuk berkahwin lagi?

Fatimah menjelaskan, izin untuk suami berpoligami tidak terletak pada isteri, sebaliknya mahkamah yang menentukan.

"Mahkamah tidak memerlukan izin daripada isteri untuk suami menikah lagi, tetapi apa yang diperlukan adalah kebenaran daripada mahkamah.

"Ini bermakna, suami tidak perlu meminta persetujuan isteri untuk berpoligami. Sebaliknya, memohon kebenaran mahkamah melalui permohonan rasmi," jelasnya kepada Majoriti.

Dalam hal ini, Fatimah mengingatkan agar golongan isteri tidak panik atau bertindak terburu-buru sebaik sahaja menerima saman tuntutan poligami daripada suami.

Erti kata mudah, saman tersebut ialah surat panggilan untuk defendan (isteri) hadir ke mahkamah mengikut tarikh dan masa ditetapkan.

"Sangat penting untuk kita bertenang. Jangan mengamuk atau koyak saman yang diterima," ujarnya

Tindakan seperti itu tidak akan mengubah hakikat bahawa saman tersebut tetap sah dan suami masih boleh meneruskan permohonan beliau di mahkamah.

"Hadirlah ke mahkamah untuk membantu (mahkamah) membuat keputusan dan mempertahankan hak-hak anda," jelas Fatimah.

Sebagai isteri, walaupun perasaan marah dan kecewa menyelubungi, kehadiran di mahkamah adalah penting untuk membela diri dan memastikan hak-hak isteri pertama terpelihara.

Dalam situasi ini, wanita perlu tahu bahawa suami akan tetap menikah walaupun isteri pertama tidak setuju," kata Fatimah.

Justeru, kehadiran isteri di mahkamah adalah peluang untuk membentangkan bukti dan memberi keterangan kepada mahkamah mengenai situasi sebenar suami.

Jika suami tidak mampu memenuhi tanggungjawab kewangan atau emosi terhadap isteri dan anak-anak, inilah masanya untuk wanita menyuarakan perkara tersebut.

Young wedding couple enjoying romantic moments

Jika mahkamah membenarkan suami berpoligami, isteri pertama tetap mempunyai hak tertentu seperti hak giliran bermalam dan hak nafkah anak-anak. Gambar hiasan/Freepik

Apa yang mahkamah nilai?

Mahkamah mempunyai beberapa kriteria akan dipertimbangkan dalam menentukan sama ada suami layak untuk berpoligami.

"Misalnya, jika suami mendakwa isteri pertama tidak lagi mampu memenuhi kewajipan batin akibat masalah kesihatan, ini akan menjadi faktor yang dipertimbangkan," jelas Fatimah.

Perkara itu termaktub dalam Seksyen 23(5)(a) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Selain itu, kemampuan kewangan suami juga menjadi aspek penting yang akan dinilai oleh mahkamah.

"Mahkamah akan melihat sama ada suami mampu menanggung komitmen tambahan seperti nafkah untuk isteri kedua dan anak-anak baharu," jelasnya lagi.

Hak isteri

Jika akhirnya mahkamah membenarkan suami untuk berpoligami, isteri pertama tetap mempunyai hak-hak tertentu perlu dijaga, termasuk hak giliran bermalam, nafkah isteri, dan nafkah anak-anak.

Sebagai contoh, jika selama ini suami gagal memberi nafkah mencukupi kepada isteri pertama, ini adalah antara isu untuk dibangkitkan di mahkamah.

"Isteri berhak untuk mendapatkan nafkah yang sepatutnya, dan jika suami gagal memenuhi kewajipan tersebut, mahkamah boleh memutuskan agar hak-hak ini dipenuhi," jelas Fatimah.

Sekiranya suami tidak mampu berlaku adil atau tidak memenuhi tanggungjawab kewangannya, isteri pertama berhak untuk memohon pembatalan perkahwinan tersebut melalui mahkamah. Ini adalah hak yang dilindungi oleh undang-undang syariah.

MJ DOUBLE PIX - 5

Isteri pertama dinasihatkan kawal cemburu, marah dalam proses perbicaraan di mahkamah. Gambar hiasan/Freepik

Kawal emosi, profesionalisme

Dalam pada itu, Fatimah juga memberi penekanan kepada pengurusan emosi dalam menghadapi situasi ini khususnya ketika perbicaraan di mahkamah.

"Emosi kita sangat penting. Kita perlu kawal emosi kerana dalam mahkamah akan berhadapan dengan bakal isteri dan pihak lain," katanya.

Walaupun perasaan cemburu, marah, atau kecewa mungkin timbul, dalam proses perbicaraan, semua pihak perlu bersikap profesional.

Ini bermakna wanita perlu mengawal diri, tidak terlibat dalam pergaduhan emosi, dan memastikan hujah-hujah yang disampaikan kepada mahkamah adalah berasas.

Walaupun poligami dibenarkan dalam Islam, hak wanita tetap dilindungi di bawah undang-undang syariah. Isteri pertama yang menerima permohonan suami untuk berpoligami tidak perlu takut atau bimbang jika suami tidak mendapat izin daripadanya.

Sebaliknya, menghadiri perbicaraan, membentangkan bukti, dan memastikan hak-hak mereka dihormati adalah langkah-langkah yang perlu diambil oleh wanita dalam situasi ini.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Fatimah, isteri perlu hadir ke mahkamah untuk membantu mahkamah membuat keputusan dan untuk memastikan hak-hak mereka dilindungi.

Dengan memahami prosedur undang-undang dan bertindak dengan bijaksana, wanita boleh memastikan bahawa hak mereka tetap terpelihara dalam situasi poligami. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram