SETIAP pasangan yang berumah tangga tentu sahaja mendambakan kebahagian dalam hubungan sebagai suami isteri.
Namun, kadangkala apa yang diharapkan tidak mampu terjadi mahupun berlaku seperti diharapkan. Langit cerah tidak selalunya terus menyinar takkala mendung tiba.
Begitu juga dengan asam garam rumah tangga yang ada pasang surut. Keadaannya seperti lapisan atmosfera yang bercampur baur dengan pelbagai perasaan.
Hal ini lebih menekankan apabila mengetahui belahan hati suami tidak lagi menjadi milik isteri apabila mengetahui perlu dikongsikan dengan wanita lain.
Bayangkan keadaan apabila berbahagi makanan sahaja sudah persoalan ketidakadilan, ini pula membicarakan tentang berbahagi kasih suami dengan isteri-isteri.
Poligami itu indah sekiranya semua pihak saling bertolak ansur dan mampu menjaga hati masing-masing.
ALLAH berfirman al-Quran, surah An-Nisa, ayat 3: "Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain) dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman."
Mengulas mengenai itu, pendakwah selebriti, Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar berkata, Islam merupakan agama mudah, namun tidak boleh diambil mudah.
Secara kasarnya, poligami itu bukan menjadi isu kerana awalnya perkahwinan untuk memenuhi sifat azali lelaki untuk perempuan dan begitu juga perempuan untuk lelaki.
"Maka disatukan antara lelaki dan perempuan kerana wanita itu menjadi penyejuk bagi lelaki. Lelaki pula perlu mengambil kira tentang perasaan dan tidak hanya fokus kepada diri sendiri.
"Apabila memasuki ke gerbang perkahwinan, suami perlu memelihara perasaan isteri terutama dalam soal tujuan untuk berkahwin lebih daripada satu. Adakah untuk menyakiti hati isteri pertama atau sekadar nafsu," katanya kepada Majoriti.
Suami perlu menjaga hati isteri-isteri agar mereka tidak berasa dikhianati.
Mengulas lanjut, keprihatinan dalam soal menjaga perasaan tidak hanya tertakluk kepada lelaki sahaja. Ini kerana Tuan Asmawi menegaskan bahawa wanita juga perlu saling menjaga hati sesama isteri lain.
"Wanita yang berkahwin dengan suami orang atau bermadu, mereka perlu ingat bahawa mereka itu mengambil hak orang, dan hak orang itu perlu disamakan.
"Walaupun hak itu disamakan, tetapi kita perlu menjaga perasaan supaya tidak terguris dan mengambil kira juga perasaan orang lain. Hal ini bagi mengelakkan berlakunya depresi mahupun kemurungan.
"Cuba kita ambil kita berada di tempat mereka, sekiranya kita berasa kecewa, bererti orang lain juga turut merasa sakit," jelasnya.
Dalam pada itu, Tuan Asmawi turut menasihatkan agar jujur dalam perkahwinan agar tidak berlaku zalim atau menganiaya terhadap pasangan.
"Kezaliman itu berlaku daripada niat kita. Jadi janganlah bertindak sebegitu kerana apabila orang kita menzalimi itu mengadu kepada ALLAH SWT, nama kita sudah tercatat bahawa akan menerima perkara sama suatu hari nanti.
"ALLAH akan putarkan balik hari itu nanti, akan tiba saat dan ketika kita pula disakiti. Jadi, mereka yang berasa tertekan kerana dikhianati itu pula harus berasa yakin bahawa bantuan ALLAH itu sentiasa dekat," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram