
PENYANYI dan komposer, Sissy Iman tampil meluahkan pandangan terhadap situasi yang dihadapi pelakon Anna Jobling bersama ibunya, yang menjadi perbualan hangat kebelakangan ini.
Bekas peserta program realiti Akademi Fantasi (AF) itu mengakui mesejnya mungkin agak mengejutkan kerana mereka tidak pernah berinteraksi sebelum ini, namun beliau memahami situasi dialami Anna.
"Dengan segala yang sedang berlaku sekarang, saya rasa terpanggil untuk menghubungi awak. Bukan untuk menghakimi atau memberi penyelesaian tetapi sekadar mahu memberikan sokongan moral," katanya menerusi satu hantaran di Instagram miliknya pada Rabu.
BACA LAGI: Filem kedua Indonesia lepas Lembayung, Anna Jobling 'dicop' jelmaan Raja Ema di negara jiran
BACA LAGI: [VIDEO] Tahun lepas tutup mata, kali ini Sissy Iman anyam ketupat gaya terbalik
Menurut Sissy, beliau tidak dapat berpura-pura memahami sepenuhnya apa yang dilalui oleh Anna, namun beliau memahami bagaimana rasanya apabila susuk seorang ibu terlibat dalam kehidupan dan kerjaya anak mereka.
"Sejak mula terlibat dalam industri hiburan 12 tahun lalu, ibu bapanya sentiasa berada di sisi.
"Walaupun saya diuruskan syarikat pengurusan pada lima tahun pertama, mereka tetap bersama-sama menguruskan segalanya.
"Apabila kontrak tamat, mereka mengambil alih sepenuhnya dan hingga hari ini, mereka masih membimbing, menyokong dan kadang-kadang membuat saya rasa terbeban,” jelasnya.
Sissy turut meluahkan rasa simpati melihat keakraban Anna dan ibunya didatangi ujian tersendiri.
Hubungan Anna (kiri) dan ibunya kini dikhabarkan dalam keadaan tegang.
Ujarnya, hubungan rapat antara anak dan ibu sememangnya indah, namun tidak dapat lari daripada cabaran yang kadang kala memenatkan.
“Tidak mengapa untuk mengakui rasa letih atau terbeban. Walaupun ia menyakitkan, saya percaya kasih sayang itu masih ada.
"Mungkin tersembunyi di bawah salah faham atau tenggelam dek tekanan, tetapi ia tetap wujud,” katanya.
Jelas pemilik nama lengkap Sissy Imann Mohammad Kamil itu lagi, pengalaman peribadi mengajarnya, seperti mana anak berusaha menjadi anak yang baik, ibu bapa juga berusaha menjadi ibu bapa yang terbaik.
"Tiada siapa yang sempurna, kerana masing-masing membawa ketakutan, trauma dan harapan sendiri, namun kadangkala semuanya bercanggah.
“Kesabaran itu tidak mudah. Kemaafan tidak berlaku sekelip mata tetapi walaupun langkah menuju pemahaman itu kecil, ia tetap satu kemajuan.
"Semoga kalian berdua kembali berbaik semula. Apabila semua masalah selesai, biarlah kasih sayang yang tinggal dan kekal, insya-ALLAH," titip pelantun lagu Mungkin Kamu itu.
Anna menzahirkan penghargaan buat ibunya sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-25 pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, meskipun hubungan dikhabarkan sedang tegang, Anna tetap menzahirkan penghargaan buat ibunya sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-25 pada Khamis.
"Terima kasih juga buat mama, melahirkan dan membesarkan adik. Adik doakan semoga sentiasa diberkati dan dilindungi ALLAH," tulisnya dalam satu perkongsian di Instastory miliknya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram