Pegang stereng go-kart sejak usia 3 tahun, gadis Filipina kini pemandu wanita bukan Eropah paling berpengaruh


  • Sukses
  • Khamis, 14 Ogos 2025

Sejak pertama kali memegang stereng go-kart pada usia tiga tahun, Bustamante sudah tahu arah tuju hidupnya, iaitu dunia perlumbaan. — Instagram/racerbia

KELUARGA Asia tidak lari dari kisah anak-anak diarahkan untuk cemerlang dalam pelajaran, memilih kerjaya profesional yang stabil seperti doktor atau peguam dan menikmati pendapatan lumayan.

Namun kisah Bianca Bustamante, 20, dari Filipina, membuktikan bahawa jalan hidup tidak semestinya mengikut skrip yang sama.

Sejak pertama kali memegang stereng go-kart pada usia tiga tahun, Bustamante sudah tahu arah tuju hidupnya iaitu dunia perlumbaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Saya cipta produk biar semua mampu beli, tak nak pelanggan stress — Christy Ng

BACA LAGI: [VIDEO] Pernah hilang motivasi sebab 'makcik bawang', kasut, beg tangan Christy Ng kini jengah pasaran Indonesia

Keyakinan itu akhirnya membuahkan hasil apabila pada 2024, beliau mencipta sejarah sebagai pemandu wanita pertama dipilih untuk Program Pembangunan Pemandu McLaren.

“Tiada siapa sangka saya akan sampai sejauh ini, apatah lagi berlatarbelakangkan seorang gadis kecil dari Filipina daripada keluarga kelas pertengahan,” katanya memetik laporan laporan media antarabangsa.

Perlumbaan kereta dikenali sebagai sukan elit yang memerlukan modal besar sejak peringkat karting.

Bustamante yang kini menetap di United Kingdom (UK) mengakui, keluarganya sendiri pernah menasihati supaya 'kurangkan bermimpi'.

Namun, bapanya seorang Pekerja Luar Negara (OFW) sanggup menjalankan tiga pekerjaan serentak demi membiayai perlumbaan beliau, sementara ibunya bekerja sebagai jururawat.

Pengorbanan keluarga itu jelas berbaloi. Dapat mewakili negaranya dan melihat bendera Filipina berkibar setiap kali berlumba adalah 'kebanggaan terbesar' Bustamante.

Walaupun baru berusia 20 tahun, kematangan Bustamante jelas terserlah. — Instagram/racerbia

Cipta rekod bersama McLaren

Dari kejohanan karting Asia ke W Series dan F1 Academy, kerjaya Bustamante terus meningkat.

Bersama McLaren, beliau berpeluang menimba ilmu daripada pasukan yang memenangi Kejuaraan Konstruktor 2024, kemenangan pertama mereka selepas 26 tahun.

Sebagai pemandu muda, Bustamante mengagumi Lando Norris dan seluruh pasukan McLaren.

“Saya tak pernah sangka dapat berada di paddock McLaren, memakai warna mereka dan menjadi sebahagian daripada keluarga ‘papaya’,” ujarnya yang turut memiliki kemahiran melukis.

Kini, beliau berlumba dalam Kejohanan GB3 untuk Elite Motorsport, bersaing dengan pelumba lelaki dan wanita, di samping menjadi pemandu pembangunan untuk pasukan Cupra Kiro dalam Kejohanan Formula E.

Bustamante (kiri) ketlka masih remaja bergambar bersama ibunya. — Agensi

Nilai komersial

Walaupun baru berusia 20 tahun, kematangannya jelas terserlah. Menjalani latihan fizikal sehingga empat jam sehari termasuk kardio, angkat berat dan latihan koordinasi mata sudah menjadi rutin Bustamante.

Sementara dalam dunia digital, beliau memiliki lebih tiga juta pengikut di Instagram dan TikTok, selain turut disenaraikan antara pemandu wanita bukan Eropah paling berpengaruh dan termasuk dalam senarai Forbes 30 Under 30 Eropah.

Kerjasama komersialnya, termasuk dengan Priority Pass, meluaskan lagi pengaruh wanita itu di luar litar.

Seperti Lewis Hamilton dengan fesyen atau Charles Leclerc dengan muzik, Bustamante juga mempunyai sisi kreatif iaitu seni dan fotografi.

Selain berlumba, Bustamante juga mempunyai sisi kreatif iaitu seni dan fotografi. — Instagram/racerbia.jpg

Akaun Instagram @racerbia.jpg juga sering menampilkan hasil bidikan kameranya.

Pesannya jelas, lakukan sesuatu yang boleh menakutkan diri setiap hari.

"Cari impian anda dan kejar ia sepuluh kali lebih keras daripada orang lain.

Matlamat akhir Bustamante? Formula Satu (F1).

“Ia sukar tapi bukan mustahil. Setiap hari kita semakin hampir melihat seorang wanita di F1,” tegasnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram