
FENOMENA budaya 'princess treatment' yang kerap dipaparkan di media sosial boleh membawa impak negatif terhadap kesejahteraan mental, khususnya dalam kalangan wanita muda jika tidak ditangani dengan bijak.
Pakar psikologi, Profesor Madya Dr. Khadijah Alavi berkata, kecenderungan itu ada kaitan dengan sifat megalomania, iaitu keyakinan diri melampau disertai rasa superior dan keasyikan dengan fantasi kekuasaan atau kejayaan hingga sanggup mengeksploitasi orang lain.
Menurutnya, dalam sudut psikologi, megalomania tidak terhad pada gender walaupun dalam karya fiksyen sering digambarkan sebagai sifat lelaki.
Dr. Khadijah berkata, megalomania tidak terhad kepada gender walaupun dalam karya fiksyen sering digambarkan sebagai sifat lelaki.
"Individu megalomania biasanya kurang empati, bersikap sombong, menghina orang lain dan tidak mampu menerima realiti hidup," katanya kepada Majoriti.
Menurut beliau, tindakan segelintir pempengaruh yang dilihat mempopularkan gaya hidup 'princess treatment' memberi gambaran kehidupan mewah yang jauh daripada realiti.
Jelasnya, pemaparan barangan berjenama, perhiasan mewah, rumah besar, majlis perkahwinan dan percutian luar biasa boleh mempengaruhi generasi muda, terutama Gen Z untuk mengidolakan kehidupan fantasi itu.
“Bukan semua Gen Z akan terpengaruh pada budaya tersebut dan ia juga tidak semuanya buruk.
"Namun penting bagi golongan berkenaan untuk memahami literasi digital bagi memberi kesedaran dan kesederhanaan dalam kehidupan harian mengikut pada kemampuan dan keperluan semasa.
"Ibu bapa dan guru harus membimbing mereka menilai kandungan yang ditonjolkan pempengaruh secara kritis,” jelasnya.
Menyentuh kesan jangka panjang, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, personaliti megalomania yang tidak dirawat sejak remaja boleh meninggalkan impak terhadap kesejahteraan mental.
Individu yang mempunyai kecenderungan megalomania selalunya mempunyai harga diri yang rapuh. — Gambar hiasan
Ujar Dr. Khadijah, antaranya termasuk rasa kosong yang kronik, kemurungan, kegelisahan, perasaan tidak stabil, hubungan rapuh, manipulasi dan kecenderungan mencari perhatian secara berlebihan.
"Individu yang mempunyai kecenderungan megalomania selalunya mempunyai harga diri yang rapuh, menjadikan mereka sangat sensitif terhadap kritikan, tidak boleh menerima pandangan sehingga boleh menjejaskan hubungan dengan orang lain.
"Dalam kes tertentu, ia boleh mendorong seseorang melanggar undang-undang demi mengekalkan imej mewah," katanya.
Beliau dalam pada itu turut menasihatkan agar wanita tidak terperangkap dengan kandungan 'princess treatment' yang sering dipaparkan di media sosial.
Wanita sebaliknya harus membina kejayaan melalui kerja keras, bakat, kemahiran dan kecerdasan.
“Kecantikan wanita sepatutnya berpaksikan nilai murni, akhlak, keanggunan bahasa dan sumbangan kepada masyarakat.
"Bukan semata-mata imej luaran atau jumlah pengikut media sosial,” tegasnya.
Dr. Khadijah menambah, pengasuhan sejak kecil perlu menekankan kesederhanaan, kerjasama dan kemampuan berfikir kritis agar wanita dapat membezakan nilai positif serta negatif.
Media massa jelasnya, harus menjadi platform perkongsian solusi, bukan sekadar pameran kecantikan atau kemewahan.
“Kesedaran mengawal sempadan penggunaan media sosial mampu menyumbang pada kesihatan mental yang sejahtera dan kecerdasan emosi generasi muda untuk jangka panjang,” ungkapnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram