[VIDEO] Gelombang #JusticeForZara menjangkau dunia, ramai desak segerakan keadilan


  • Bonda
  • Khamis, 14 Ogos 2025

Rakyat Thailand antara yang aktif bersolidariti terhadap perjuangan menuntut keadilan buat Allahyarhamah Zara Qairina (kiri)

SOKONGAN terhadap perjuangan menuntut keadilan buat Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, murid berusia 13 tahun yang meninggal dunia dalam kejadian tragis di sebuah sekolah berasrama penuh, kini melangkaui sempadan negara.

Bukan sahaja rakyat Malaysia, malah masyarakat di Thailand, Korea Selatan, Brunei, Indonesia, Filipina, China, Jepun, Kemboja, Myanmar, Laos, bahkan sehingga ke United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) turut menyuarakan solidariti melalui tanda pagar #JusticeForZara di media sosial.

Berita pemergian Zara Qairina mendapat liputan meluas di seluruh dunia, dengan ramai pihak menggesa kerajaan Malaysia untuk tidak berlengah-lengah menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh.

BACA LAGI: Mahkamah Koroner akan kendali inkues kes Zara Qairina — Jabatan Peguam Negara

BACA LAGI: Sejauh mana keseriusan YB tangani isu Zara Qairina? — Gerakan Mahasiswa

 

 

Kisah tragis menimpa remaja dari Sipitang, Sabah itu turut dikongsikan oleh pencipta kandungan, Amoibajumerah, di laman Instagram miliknya pada Rabu.

“Satu anak kamu rentap dari ibunya, satu dunia menuntut keadilan buat puteri kami yang satu ini.

"Yang berdiri bersama ada abang, kakak, adik, ayah, ibu, atuk dan seorang nenek. Yang menyatukan kami semua (ialah) kasih dan sayang kepada seorang puteri,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Solidariti itu menggambarkan rasa hiba dan kebersamaan masyarakat dunia dalam memperjuangkan nasib Zara Qairina, yang dianggap sebagai simbol betapa nyawa seorang anak perlu dilindungi sepenuhnya.

Gelombang tanda pagar #JusticeForZara di media sosial kini menjadi suara bersama, mendesak pihak berkuasa bertindak tegas dan memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

Gelombang tanda pagar #JusticeForZara di media sosial kini menjadi suara bersama untuk mendesak pihak berkuasa bertindak tegas.

Majoriti sebelum ini melaporkan, tragedi berlaku pada 16 Julai lalu apabila Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolah sekitar pukul 3 pagi, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan.

Gadis tersebut dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I, namun disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya akibat kecederaan dalaman yang serius.

Jenazahnya dikebumikan di kampung halaman di Sipitang tanpa sebarang bedah siasat awal, sebelum keluarga membuat laporan polis tambahan dan mendesak siasatan penuh.

Selepas beberapa minggu desakan, Pejabat Peguam Negara mengeluarkan arahan untuk menggali semula kubur Allahyarham pada 9 Ogos, diikuti bedah siasat forensik keesokan harinya.

Dapatan bedah siasat adalah selari dengan diagnosis awal, iaitu kecederaan otak teruk akibat kekurangan oksigen dan aliran darah ke otak konsisten dengan jatuh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram