'Berdiri tepi tingkap kelas tadika', nukilan Raja Zarith Sofea kenang zaman kanak-kanak TMJ


  • Bonda
  • Isnin, 30 Jun 2025

Kenangan manis Raja Zarith Sofea bersama putera sulungnya, TMJ.

KELAHIRAN cahaya mata pertama atau sulung sememangnya menjadi detik bermakna dan ditunggu-ditunggu buat setiap pasangan suami isteri.

Begitulah yang diluahkan oleh Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah sempena ulang tahun kelahiran putera sulungnya, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) ke-41 pada Ahad.

Baginya, kelahiran anak sulung juga membawa pengalaman baharu yang penuh dengan kegembiraan bagi semua ibu bapa.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak sentuh elaun belajar demi buat modal, mekanik wanita nekad sambung legasi bengkel ayah di Kuantan

BACA LAGI: 'Rezeki tak berkat', Ustazah Asma' Harun tegur peniaga wanita promosi minyak wangi sampai menggoda lelaki ajnabi undang dosa

 

 

 

Dalam nukilannya, Raja Zarith sempat mengimbau kembali kenangan indah sepanjang membesarkan puteranya.

"Ketika itu 1 Syawal, Hari Raya Puasa. Tuanku sedang menziarahi ibu saudaranya dan keluarga mereka apabila baginda dimaklumkan bahawa saya selamat melahirkan Tunku Ismail, putera sulung.

"Sebagai ibu bapa, buat kali pertama kami menyambut kelahiran putera sulung dengan penuh kegembiraan serta bersyukur kepada ALLAH. Alhamdulillah," tulisnya menerusi hantaran di Instagram @theroyaljohor.

Baginda turut mengenang semula kenangan manis semasa zaman kanak-kanak TMJ membesar bersama adik-beradiknya.

"Saya masih ingat hari pertama saya menghantarnya ke tadika.

"Dia tidak mahu saya meninggalkannya, jadi saya berdiri di tingkap kelas selama mana saya dibenarkan.

"Tahun-tahun yang dilaluinya sebagai kadet dan kemudian sebagai pegawai tentera di India amat sukar untuk kami hadapi.

"Namun, kami sempat melawatnya di Akademi Tentera India di Dehradun dan bertemu keluarga yang menjaga serta menerima dia dengan penuh kasih sayang di rumah dan dalam hati mereka," luahnya.

Masih tersemat dalam ingatannya apabila bercerita tentang minat TMJ dalam bidang sukan khususnya bola sepak yang ternyata sudah diserap sejak kecil.

Katanya, TMJ pasti teruja setiap kali ibundanya membelikan permainan video bola sepak seperti FIFA.

"Saya akan bertanya kepadanya, "ini permainan apa? Apa yang Teak (nama timangan Tunku Mahkota) perlu buat?.

"Dia akan menjawab, "Teak mesti pilih pengurus bola sepak dan Teak perlu pilih pemain yang sesuai untuk pasukan bola sepak Teak".

"Saya tidak pernah terfikir bahawa suatu hari nanti dia akan merealisasikan permainan itu dalam kehidupan sebenar," tambahnya.

Dalam pada itu, baginda turut memanjatkan doa buat TMJ agar terus diberkati dengan kesihatan, kebahagiaan dan kejayaan.

"Kami memohon kepada ALLAH agar membimbingnya dan mengurniakan kepadanya banyak tahun yang bahagia bersama isteri dan anak-anaknya.

"Semoga dia dikurniakan kebijaksanaan untuk mengasihi dan menjaga rakyat Johor," ucapnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram