Raja Permaisuri Agong lancar blog 'Lessons from Life', wadah perkongsian pendapat buat rakyat jelata


  • Maya
  • Sabtu, 02 Ogos 2025

Raja Zarith Sofiah melancarkan sebuah blog peribadi bertajuk 'Lessons from Life' sebagai wadah untuk berkongsi pandangan bersama rakyat jelata.

RAJA Permaisuri Agong, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, melancarkan sebuah blog peribadi bertajuk 'Lessons from Life' sebagai wadah untuk berkongsi pandangan, pengalaman hidup, serta nilai-nilai murni khas buat rakyat jelata.

Blog tersebut yang dilancarkan secara rasmi pada Jumaat di Istana Negara, mendapat sambutan hangat daripada pelbagai lapisan masyarakat yang menyambut baik usaha Seri Paduka dalam mendekati rakyat melalui medium digital yang lebih bersifat peribadi dan reflektif.

Dalam satu kenyataan rasmi halaman Facebook Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim, Raja Malaysia, blog tersebut diuruskan oleh Pejabat Akhbar Diraja Johor (RPO) dan turut memaparkan kompilasi artikel pilihan baginda.

BACA LAGI: Yana Najib lahir cahaya mata ke-4, nama Aryana Myra-Rose Daniyar jadi pilihan

BACA LAGI: Saiz rahim membesar seperti hamil, wanita hidap fibroid kongsi simptom awal perlu diperiksa

"Bacalah entri terkini Raja Zarith Sofiah dalam blog ini melalui pautan di bawah, yang menyentuh  penderitaan rakyat Gaza," katanya.

Dalam pada itu, Seri Paduka cukup dikenali sebagai seorang tokoh ilmuan dan pencinta bahasa. 

Sejak kecil, baginda dididik dengan penekanan kepada ilmu dan nilai murni sehingga melanjutkan pelajaran ke luar negara dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Cina dan Bahasa Inggeris Moden dari University of Oxford, United Kingdom, antara universiti paling berprestij di dunia. 

Selain itu, baginda juga memiliki Ijazah Sarjana dalam Linguistik dari universiti yang sama.

Penguasaan bahasa baginda yang luar biasa, termasuk bahasa Melayu, Inggeris, Perancis dan Mandarin, melambangkan kecemerlangan akademik dan keterbukaan minda seorang permaisuri berjiwa global.

Sekadar info, Raja Zarith Sofiah mendirikan rumah tangga bersama Sultan Ibrahim pada 1982 dan pasangan diraja itu dikurniakan tujuh cahaya mata, termasuk Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram