
SEDARI kecil, Fathiah A’bdussamad sudah terbiasa melihat dan menjaga helai-helai kain batik milik ibu dan nenek sebelah bapanya.
Setiap helaian batik dalam simpanan keluarganya memiliki motif dan warna yang unik, malah beliau diajar cara melipat dan membalutnya dengan kemas sehingga tidak terurai walaupun ketika tidur.
Namun dalam kehidupan awal wanita itu, batik tidak pernah menjadi sesuatu yang istimewa baginya.
BACA LAGI: [VIDEO] Ibu anak 4 gegar pasaran AS dengan aiskrim berperisa ‘susu badan’
“Batik masih sebahagian besar hidup saya, tetapi saya ambil ringan seni dan maknanya.
"Saya tidak pernah terfikir untuk bertanya makna di sebaliknya,” kata Fathiah saat mengimbas zaman remajanya.
Namun segalanya berubah apabila beliau yang kini menetap di London, terlibat dalam pameran di The Garrison Chapel, sebuah bangunan warisan berusia 130 tahun menjadi ruang seni awam.
Karya batiknya, yang diinspirasikan oleh kenangan zaman remaja dan perjalanan spiritual memahami warisan Indonesia, dipamerkan bersama 11 artis lain, merangkumi tema daripada ikonografi Katolik hingga geometri Islam.
Batik awalnya, tidak pernah menjadi sesuatu yang istimewa bagi Fathiah. — Fathiah A'bdussamad
Seni khat
Minat Fathiah terhadap seni sudah bermula sejak umurnya masih muda. Enam tahun di Mesir menyambung pengajian sarjana muda dan sarjana bahasa serta sastera Arab di Universiti Al-Azhar, beliau turut mengkhususkan diri dalam seni khat Arab di bawah bimbingan tokoh-tokoh ternama.
Sekembalinya ke Singapura pada 2013, Fathiah mengajar seni khat Arab selama sedekad.
Namun, selepas 10 tahun mengajar, beliau berasakan terdapat jurang dalam penguasaan seni tersebut di Singapura.
Beliau mahukan cabaran baharu, lalu mula mencari cara untuk memperdalam pengetahuan dalam seni khat Arab.
Keinginan untuk mencabar diri dan memperluas perspektif membawanya ke United Kingdom (UK), yang mana beliau menerima biasiswa penuh di King’s Foundation School of Traditional Arts melalui Queen Elizabeth II Platinum Jubilee Commonwealth Heritage Skills Training Programme.
Fathiah bersama karya seninya yang menampilkan kaligrafi Arab dan batik, di The Garrison Chapel, London. — Fathiah A'bdussamad
Mencari akar
Niat asalnya adalah untuk memperdalam seni khat Arab, namun di London beliau tersentak apabila menyedari ramai yang tidak memahami asal usul batik dan menganggapnya sekadar hiasan termasuk dalam kalangan artis lain.
"Lebih malu selepas menyedari saya sendiri kurang faham tentang batik dan makna motifnya.
“Pengalaman ini seperti 'disimbah dengan air sejuk' dan menyedarkan saya,” kongsinya.
Dalam proses pembelajaran, Fathiah diarahkan untuk mengkaji salasilah keluarganya.
Di situlah wanita itu menyedari bahawa moyangnya berasal dari Indonesia dan cadangan tutor untuk meneroka seni tradisional tersebut telah membuka lembaran baharu dalam hidupnya.
Nenek Fathiah (kiri) bersama cucunya, iaitu adik lelaki Fathiah. — Fathiah A'bdussamad
Kehilangan nenek setahun sebelum berangkat ke London menambah dimensi emosi terhadap pencariannya.
“Nenek mengajar saya segalanya. Apabila beliau pergi, ada kekosongan besar dalam diri ini.
“Saya mula teringat batik-batik yang disimpannya dan buat pertama kali, saya tertanya-tanya maknanya,” katanya.
Dilimpahi rasa rindu terhadap nenek dan tertarik pada batik, beliau memutuskan untuk menumpukan tenaganya pada asal-usul batik dan belajar cara membuatnya sendiri.
“Tiba-tiba pengajian saya bukan lagi tentang diri sendiri. Ia melibatkan kesedihan, nenek, warisan dan seluruh budaya.
“Saya datang ke London untuk belajar khat Arab, tetapi tanpa sedar sebenarnya saya memulakan perjalanan pulang ke akar,” luah beliau. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram