Fathia akui penampilan dah berubah, tak 'cantik' macam dulu, kecewa orang lain buat andaian tanpa tahu kisah sebenar


  • Gaya
  • Jumaat, 08 Ogos 2025

Fathia mengakui lebih sedih apabila orang luar mudah membuat penilaian tanpa mengetahui situasi sebenar yang dilaluinya. — Instagram/fatiyalatiff

PELAKON Fathia Latiff mengakui penampilan kini tidak lagi sama seperti dahulu, selain menyedari perubahan berlaku pada wajahnya.

Berkongsi luahan hati di aplikasi Threads miliknya, Fathia berkata, lebih menyedihkan apabila orang luar mudah membuat penilaian tanpa mengetahui situasi sebenar yang dilaluinya.

BACA LAGI: 'Dosa besar buka aib orang', mufti Pulau Pinang ulas isu Fathia mengata Zahirah

BACA LAGI: Bercerai kali ke-4, Jennifer Lopez luah rasa sunyi, trauma lepas berpisah dengan Ben Affleck

“Saya tahu penampilan saya sudah berubah, bukan lagi seperti dahulu.

"Saya dengar bisikan, komen dan penilaian daripada mereka yang langsung tidak tahu apa saya lalui.

“Saya tidak dilahirkan untuk kekal sama. Kita semua akan berubah dan saya juga begitu," tulisnya pada Khamis.

Luahnya, kecantikan kini bukan pada wajah dimiliki dahulu, tetapi pada cara beliau bertahan, terus melangkah walaupun dunia cuba 'mematahkannya'.

Menurut pemilik nama lengkap Nur Fathia Abdul Latiff, 38, itu walaupun penampilannya mungkin tidak lagi dianggap cantik di mata sesetengah pihak, beliau tetap menerima dirinya seadanya.

Fathia berkata, kecantikan kini bukan pada wajah yang dimiliki, tetapi pada cara beliau bertahan.  — Instagram/fatiyalatiff

“Walaupun mungkin tidak cantik di mata mereka, saya tetap dengan diri saya dan itu sudah memadai,” jelasnya.

Tidak hanya itu, pada 9 Julai lalu, bintang drama popular Ariana Rose itu turut memuat naik satu hantaran yang menggambarkan kesedihan apabila perubahan wajahnya menjadi topik bualan netizen.

“Saya nampak perubahan pada muka dan jujurnya saya rasa nampak lebih teruk sekarang.

"Saya sudah jarang berhias dan kadang-kadang rasa seperti orang tidak mengenali saya apabila keluar. Sukar rasanya apabila tidak rasa seperti diri sendiri.

“Saya terluka. Orang terus menghukum dan memperlekeh penampilan saya. Saya hanya buat rawatan kecil, sekadar fillers tapi bukannya rasa lebih baik, rasa lebih sedih,” ujarnya.

Luahan itu menerima pelbagai reaksi daripada peminat, dengan ramai yang menitipkan kata-kata semangat agar Fathia terus kuat dan tidak mempedulikan komen negatif. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram