
MERAIKAN dua dekad perjalanan kreatif, jenama fesyen tempatan tersohor, RR by Rizman Ruzaini mempersembahkan koleksi terbaharu mereka untuk Musim Luruh/Sejuk 2025 berjudul Rebirth Vol.1 – Gratitude.
Tidak hanya tampil sebagai satu permulaan baharu, sebaliknya ia menjadi kesinambungan naratif yang membentuk identiti jenama selama 20 tahun.
Berinspirasikan simbolisme bunga teratai, lambang keanggunan yang bangkit dari lumpur kehidupan, koleksi itu mencerminkan manifestasi kesyukuran, kekuatan dan kelahiran semula.
BACA LAGI: Tiga koleksi kapsul mewah, eksklusif simbolik 2 dekad Rizman Ruzaini
Bagi Rizman (kanan), koleksi tersebut bukan sekadar koleksi bermusim, ia adalah pengenalan semula RR by Rizman Ruzaini.
“Ini bukan sekadar koleksi bermusim, ia adalah pengenalan semula RR by Rizman Ruzaini.
“Kami sedang memposisikan semula label ini untuk menyentuh hati generasi baharu, mereka yang menghargai kehalusan seni, identiti dan keikhlasan.
"Kami percaya pada kemewahan yang ekspresif, elegan dan paling penting mudah diakses,” kata pengasas bersama jenama itu, Rizman Nordin.
Setiap helaian dalam koleksi berkenaan dihasilkan dengan pertimbangan teliti, menampilkan struktur yang kukuh tanpa mengorbankan keselesaan.
Potongan kemeja, jaket, blaus dan seluar tampil moden, minimalis serta mudah digayakan dalam kehidupan seharian.
Paling mencuri tumpuan, buat julung kali RR memperkenalkan denim ke dalam koleksi mereka yang dipersembahkan dalam rona navy gelap berstruktur, namun lembut.
Gaya itu diserlahkan dengan palet warna tenang seperti hitam, putih dan krim, mencipta rentak visual yang sofistikated serta kontemporari.
Ruzaini (kiri) berkata, rasa syukur menjadi inspirasi utama dalam menghasilkan rekaan koleksi yang diperagakan di KLFW. — Rizman Ruzaini
Butiran logam perak dan emas pula menyuntik kilauan elegan, sama ada pada perhiasan pakaian, kasut mahupun aksesori, menjadikan setiap helaian terasa hidup dan mewah.
Logo RR pula disulam secara halus dan berseni sebagai monogram, motif tersembunyi atau elemen grafik yang memperkukuh identiti tanpa menenggelamkan rekaan.
Menurut pengasas bersama jenama Rizman Ruzaini, Ruzaini Jamil, rasa syukur menjadi inspirasi utama dalam menghasilkan rekaan koleksi yang diperagakan di Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) pada Isnin lalu.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada wanita dan lelaki yang menjadikan RR sebahagian daripada hidup mereka selama ini.
"Nama seperti Roserra, Valerrie dan Marrisa dalam koleksi ini menyimpan inisial kami, yang disisipkan seperti kenangan dalam setiap jahitan,” tuturnya.
Amelia Henderson (kiri), Datuk Syafinaz Selamat (dua dari kanan) dan Jaclyn Victor (kanan) antara barisan selebriti yang memeriahkan KLFW pada Isnin. — Rizman Ruzaini
Penjenamaan semula
Label RR by Rizman Ruzaini, yang dahulunya dikenali sebagai titik akses kepada jenama couture utama mereka, kini berdiri megah sebagai jenama kontemporari yang makin matang.
Menyaingi jenama antarabangsa seperti Sandro, Maje, Theory dan Coach, RR kini menampilkan koleksi ready-to-wear yang menggabungkan rekaan bergaya dengan fungsi moden.
Ia menyasarkan pengguna baharu yang mahukan lebih daripada fesyen segera, tetapi belum mahu melangkah ke dunia eksklusif couture.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Modinity Group yang juga rakan strategik serantau RR, Linda Anggrea berkata, pasaran kini sudah bersedia untuk jenama seperti RR by Rizman Ruzaini.
“Rebirth Vol.1 – Gratitude menunjukkan kedalaman emosi dan pemikiran di sebalik setiap helaian.
"Yang lebih penting, ia memperlihatkan arah masa depan RR yang aspiratif, bijaksana dan relevan buat generasi baharu pengguna fesyen di Asia Tenggara,” jelasnya.
Sebagaimana judulnya, Rebirth Vol.1, koleksi itu hanyalah pembukaan kepada bab baharu.
Bahagian kedua siri tersebut, Vol.2 – A New Home, bakal diperkenalkan di Minggu Fesyen Jakarta pada November depan, sekali gus menyaksikan kemunculan sulung jenama itu di pentas Indonesia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram