
DATIN Christine Bong pernah melangkah penuh yakin ke dunia korporat dalam bidang pembangunan hartanah.
Namun takdir membawanya ke arah berbeza apabila pertemuan di bawah sebatang pokok di Bukit Bintang, Kuala Lumpur bersama jejaka yang kini suaminya, Datuk Sharon Haniffa menukar hala tuju hidupnya.
Bersama cinta hatinya, graduan undang-undang itu memulakan perjalanan dengan sebuah kafe kecil berkeluasan 250 kaki persegi di sebuah universiti swasta, hanya berbekalkan modal RM60,000.
BACA LAGI: 'It suits her well', interior industrial moden banglo 2 tingkat refleksi personaliti Daiyan Trisha
BACA LAGI: Tak fasih Mandarin bukan halangan, Nurul Huda 'jalan terus' dalami bidang perubatan tradisional Cina
Usaha yang tampak kecil bagi segelintir pihak pada waktu itu, kemudian menjadi titik mula pada lahirnya Brick House Group, empayar makanan dan minuman (F&B) yang kini menjana jutaan ringgit setahun.
Pada 2014, mereka menubuhkan Glass House Cafe di Universiti MAHSA, hanya bersaiz 250 kaki persegi.
Pada awalnya, Christine menyangka beliau hanya perlu menggaji pekerja dan mengurus dari jauh, namun keadaan memaksa beliau sendiri turun padang apabila staf tidak hadir bertugas.
Dari situlah ibu kepada dua cahaya mata itu belajar selok-belok menguruskan perniagaan F&B, dari kaunter ke dapur.
Tidak mudah mengalah, beliau segera mendapatkan pensijilan sebagai barista dan melatih sendiri setiap pekerja baharu.
Apabila musim cuti universiti tiba dan pelanggan berkurangan, mereka bijak mengubah strategi pada penyediaan katering dan perkhidmatan acara.
Christine (dua dari kanan) dan Sharon bersama kedua-dua permata hati mereka. — Instagram/christinebong_personal
Pokok KL
Kemuncak kejayaan mereka bermula pada 2018 apabila melancarkan Pokok KL, kafe berkonsepkan kaca yang menjadi tular dan menarik lebih 500 pelanggan pada hari pertama pembukaan.
Sehingga kini, premis berkenaan menarik lebih 1,000 pelanggan setiap hujung minggu, menyaksikan hasil tahunan Brick House Group melonjak kepada RM11 juta hasil kejayaan itu.
Kini, Brick House Group mengendalikan lebih 10 premis, merangkumi kafe, ruang acara dan perkhidmatan katering, semuanya bermula dari semangat dan usaha gigih pasangan tersebut.
“Kalau ingat F&B ini sekadar letak duit dan tunggu untung, memang tidak akan menjadi. Anda kena curah sepenuh hati dan jiwa,” katanya.
Minat jadi pemacu
Menurut beliau, segala-galanya bermula daripada minat mendalam terhadap dunia kafe dan restoran.
Ketika ruang di MAHSA Avenue dibuka, beliau dan teman lelakinya ketika itu, tanpa ragu-ragu menyambarnya.
Maka, terbinanya Brick House Group, bukan sahaja sebagai perniagaan, malah lambang cinta dan komitmen mereka.
Mengimbas kembali permulaan sukar, Christine mengakui mereka hampir tidak memperoleh sebarang pendapatan pada peringkat awal perniagaan.
Enam bulan selepas membuka cawangan pertama The Glasshouse Cafe, beliau mengambil keputusan untuk berhenti daripada pekerjaan tetap dalam bidang pembangunan hartanah demi memberi tumpuan sepenuhnya pada kafe tersebut.
Sepanjang tempoh setengah tahun itu, beliau hanya berjaya menjana RM500.
Antara menu yang disediakan di restoran Pokok milik Christine Christine dan Sharon. — Instagram/christinebong_personal
“Apabila kita sedar gaji yang diterima lebih rendah daripada gaji pertama selepas tamat pengajian dulu, mesti akan tertanya sendiri, ‘apa yang aku tengah buat ini?” katanya tertawa.
Beliau bahkan turun sendiri membeli bahan mentah tengah malam bersama ibunya atau Sharon, memikul barang ke kafe dan menyusun stok bersama pekerja.
Namun semua kepayahan itu terbayar apabila perniagaan mereka terus berkembang.
Selepas menyertai program kerajaan melalui program Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC), Brick House Group meluaskan cawangan ke kampus lain dan kini turut mengendalikan jenama popular seperti Daun, selain menawarkan perkhidmatan katering dan pengurusan acara.
Tidak terhenti dalam dunia F&B sahaja, Christine turut mencipta kejayaan dalam bidang gaya hidup.
Antara perniagaan sampingan yang kini berkembang pesat ialah sebuah kedai bunga dan hadiah berkonsep rumah dan dekorasi moden, Tiger Lily.
Christine membuktikan bahawa dengan minat yang mendalam, kesungguhan dan sedikit keberanian untuk mengambil risiko, impian yang besar boleh bermula daripada langkah kecil, walaupun hanya dari kafe universiti. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram