'Doakan papa istiqamah', nekad henti hisap vape lepas anak hadiahkan gula-gula getah nikotin


  • Bonda
  • Rabu, 06 Ogos 2025

Lelaki tersebut berkongsi gambar kad ucapan yang disertakan dengan hadiah gula-gula getah di aplikasi Threads miliknya.

SEORANG bapa menyuarakan hasrat meninggalkan tabiat menghisap vape selepas menerima sekeping kad ucapan hari jadi yang menyentuh hati daripada anak perempuannya.

Tidak hanya itu, lelaki berkenaan turut menerima hadiah gula-gula getah berubat yang mengandungi nikotin.

Untuk makluman, gula-gula getah tersebut digunakan untuk membantu perokok berhenti merokok atau berhenti menggunakan produk nikotin seperti vape.

BACA LAGI: Kerajaan pertimbang haram jual, guna 'vape' di seluruh negara

BACA LAGI: Gula-gula berbentuk vape dan picagari dilarang dijual di sekolah

Menerusi satu hantaran di aplikasi Threads milik shazhany, lelaki tersebut berkongsi gambar kad ucapan tulisan tangan anaknya yang turut disertakan dengan hadiah dua peket gula-gula getah nikotin.

Menurutnya, walaupun selama ini beliau tidak terkesan dengan pelbagai nasihat dan amaran kesihatan, luahan penuh kasih daripada anaknya benar-benar menusuk ke hati.

“Tengok orang lain masuk hospital sebab vape? Aku steady. Isteri bebel suruh berhenti? Aku buat-buat tak dengar, nantilah aku cakap.

"Tapi anak aku bagi kad hari jadi tulis macam ini, aku tak boleh tahan weh,” tulisnya pada Selasa.

Dalam ucapan tersebut, anak perempuannya meluahkan harapan agar bapanya menjaga kesihatan seiring usia yang semakin meningkat.

Anak tersebut turut menyifatkan bapanya sebagai tempat bergantung, memujuk dan bermanja seisi keluarga.

Dalam hantaran lanjut, lelaki berkenaan turut menitipkan nasihat kepada para isteri di luar sana agar tidak berputus asa dalam usaha menyokong suami berhenti merokok atau vape.

“Saya faham bukan mudah untuk suami berhenti merokok atau vape tapi jangan pernah putus asa untuk terus mendoakan. Insya-ALLAH, satu hari nanti mereka akan berjaya berhenti,” tambahnya.

Penggunaan rokok elektronik atau vape yang pada asalnya dipromosikan sebagai alternatif ‘lebih selamat’ berbanding rokok konvensional, kini semakin terbukti membawa pelbagai risiko kesihatan serius.

Vape bagaimanapun bukanlah bebas risiko seperti yang sering digambarkan. Sebaliknya, bahan kimia yang terkandung dalam cecair vape termasuk nikotin, propilena glikol, perisa tiruan dan bahan pelarut berpotensi menyebabkan kesan jangka pendek dan panjang terhadap tubuh.

Antara kesan awal yang sering dilaporkan termasuk sakit dada, batuk berpanjangan, sesak nafas, pening dan loya.

Malah, beberapa kes kerosakan paru-paru akut yang dikenali sebagai E-Cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (EVALI) dilaporkan di peringkat global terutama dalam kalangan remaja dan dewasa muda.

Penggunaan vape dalam jangka masa panjang juga boleh menyebabkan kerosakan tisu paru-paru dan risiko penyakit paru-paru kronik seperti penyakit Pulmonari Obstruktif Kronik (COPD).

Selain itu, ia turut mengakibatkan masalah kardiovaskular akibat penyempitan salur darah dan gangguan fungsi otak, terutamanya dalam kalangan remaja, disebabkan pendedahan nikotin yang mengganggu perkembangan neurologi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram