Terharu anak lelaki autistik sabar, setia teman ibu jalani rawatan kemoterapi, mereka juga ada sifat sayang, empati


  • Bonda
  • Rabu, 06 Ogos 2025

Pemuda autistik itu menjaga ibunya dengan sabar sepanjang menjalani rawatan di hospital. — Gambar janaan AI

DI sebalik kekurangan dimiliki, anak-anak istimewa sering kali menjadi sumber kekuatan dan kasih sayang yang tidak ternilai dalam sesebuah keluarga.

Ramai ibu bapa mengakui, meskipun cabaran menjaga anak berkeperluan khas bukan sesuatu yang mudah, namun sifat penyayang dan keikhlasan ditunjukkan golongan tersebut sentiasa menjadi penawar pada keletihan harian.

Seperti dikongsikan di platform Threads baru-baru ini, seorang pengguna dengan nama akaun mercyoiler menceritakan kisah menyentuh hati tentang seorang ibu berusia 73 tahun yang menjalani rawatan kemoterapi, ditemani anak lelakinya yang menghidap autisme.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Jangan sorokkan mereka di rumah', ayah cipta rekod bawa anak istimewa lari 42km di IJM Allianz Duo Highway Challenge 2025

BACA LAGI: Buang anak OKU ibarat tolak syurga pemberian ALLAH

Difahamkan, wanita tersebut merupakan bekas jururawat di hospital swasta dan memiliki lima anak dengan kerjaya hebat seperti peguam, ahli perniagaan dan arkitek.

Namun paling menyentuh hati, satu-satunya anak yang setia menemani sepanjang proses rawatannya adalah anak istimewanya, pemuda autistik berusia 27 tahun.

"Jadi, jika mempunyai anak istimewa, ketahuilah mereka akan sentiasa ada untuk anda," tulisnya pada Selasa.

Tambahnya lagi, pemuda itu kelihatan pendiam, namun sangat prihatin.

Beliau memegang beg ibunya, membantu ke tandas, membawa ke kaunter pendaftaran, semuanya dilakukan dengan penuh sabar.

Perkongsian itu menarik perhatian ramai, khususnya ibu bapa yang turut mempunyai anak istimewa tampil berkongsi pengalaman masing-masing.

Seorang ibu tunggal, azreen_ibrahim_ bercerita tentang anak tunggalnya, Rayyan yang berusia 13 tahun dan menghidap autisme spektrum (ASD).

“Setiap malam sebelum tidur dia akan cium saya dan kata, ‘Rayyan take care of mommy okay?’.

"Hati saya hancur setiap kali dan ya, kami sebagai ibu bapa tetap ada kebimbangan. Siapa akan jaga mereka bila kita tiada nanti,” luahnya.

Pengguna lain, nooralina555, berkongsi tentang anak perempuannya, Maryam, berusia 11 tahun yang sangat sensitif dengan perubahan emosi dirinya.

“Dia tahu bila saya sedih sebelum sempat luah atau jelaskan. Allah kurniakan dia dengan keupayaan untuk menyayangi tanpa syarat,” ujarnya.

Turut sama berkongsi itsmasliza, ibu kepada remaja lelaki, 15, yang menghidap Williams Syndrome.

Anaknya sering memuji dan mengambil berat tentang dirinya.

“Kalau saya nyanyi sumbang pun dia akan puji. Pagi tadi saya goreng nuget cantik-cantik, dia kata ‘This is good ibu. I give you 100 stars’,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram