
SEKOLAH Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) tidak hanya menjadi pilihan eksklusif masyarakat Cina, malah ia kian dituruti ibu bapa daripada pelbagai bilang bangsa yang mendaftar anak ke sekolah tersebut.
Antara faktor utama mendorong situasi itu adalah disebabkan sistem disiplin yang tegas dan suasana pembelajaran mencabar diyakini mampu membentuk jati diri pelajar.
Berkongsi kisah peribadi, Athirah Ahmad menceritakan bagaimana ibu bapanya yang juga merupakan guru di sekolah berprestasi tinggi memilih untuk menghantar kesemua anaknya ke SJKC.
BACA LAGI: Pengorbanan ibu rahsia kejayaan, Johan Ghazali hadiahkan jam Rolex dari hasil ganjaran kemenangan
Bukan semata-mata mahu mempelajari bahasa Mandarin, tetapi hal itu menurutnya ekoran keyakinan dan kepercayaan terhadap sistem pendidikan SJKC yang mampu mendidik anak-anak berdisiplin sejak kecil.
"Ayah dan mak mengajar di sekolah besar, ayah di SBP, mak di sekolah kluster sibuk, sampai tak sempat nak pantau kerja sekolah anak-anak.
"Jadi mereka salurkan keperluan itu kepada sekolah dan SJKC adalah pilihan mereka.
"Disiplin, itu key point ayah. Umur enam tahun enrolled Chinese kindy, umur tujuh hingga 12 adalah waktu terbaik untuk kanak-kanak belajar dan biasakan dengan disiplin," katanya di laman Threads.
SJKC kini menjadi pilihan masyarakat pelbagai bilang bangsa. — The Star
Akui pengalaman bersekolah di SJKC tidak mudah, guru-guru tegas, kerja sekolah yang banyak dan disiplin ketat menjadikan pengalaman itu cukup mencabar namun membentuk karakter dirinya hari ini.
"Dulu memang rasa janggal tapi disebabkan berada dalam persekitaran yang sentiasa mencabar, saya terpaksa belajar untuk bangkit dan jadi lebih baik.
"Kalau Bahasa Malaysia saya lebih rendah daripada pelajar bukan Melayu, takkan saya tak rasa tercabar," ujarnya.
Tambahnya, suasana itu telah menjadikannya lebih bersedia dan matang sekiranya berdepan tekanan selain belajar untuk keluar dari zon selesa.
"Cikgu-cikgu garang, macam jumpa 30 versi mak ayah setiap hari, tapi bagus juga setiap hari saya siapkan diri untuk bersedia kalau kena marah.
"Kalau saya belajar dalam suasana terlampau selesa, tak ada growth, saya rasa saya akan stay that way for a long time and that will make me takut nak keluar dari comfort zone," jelasnya.
Statistik trend kemasukan pelajar ke SJKC
Trend peningkatan murid bukan Cina di SJKC turut disokong oleh data rasmi.
Menurut statistik Dong Zong dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada Jun 2024, hanya 17,309 atau 3.05 peratus murid bukan Cina bersekolah di SJKC pada 1989. Namun angka itu terus meningkat kepada:
- 52,043 murid (8.66 peratus) pada 1998
- 72,443 murid (11.84 peratus) pada 2010
- 101,011 murid (19.75 peratus) pada 2020
Kini, hampir 20 peratus murid SJKC di seluruh negara terdiri daripada pelajar bukan Cina, termasuk kaum Melayu, India, Orang Asli serta warga asing.
Selain disiplin dan sistem pembelajaran yang tersusun, faktor lain seperti kualiti guru, lokasi sekolah yang berdekatan, serta kecenderungan ibu bapa agar anak-anak menguasai bahasa Mandarin turut menyumbang kepada peningkatan tersebut.
Sama ada faktor disiplin, kualiti pendidikan mahupun peluang masa depan, SJKC kini dilihat sebagai alternatif yang berdaya saing untuk semua kaum di Malaysia.
Maka, persekitaran pembelajaran yang mencabar dan nilai jati diri diterapkan sejak kecil mampu membentuk pelajar lebih berdikari dan berdaya saing, sekali gus merupakan antara ciri diperlukan dalam dunia masa kini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram