
SEORANG pelari wanita Orang Asli Mexico mencipta kejutan di pentas sukan lasak apabila muncul juara dalam acara Ultra Marathon Canyon 2025 baru-baru ini.
Candelaria Rivas Ramos, 30, yang berasal dari kumpulan etnik Raramuri yang mendiami kawasan pergunungan Sierra Madre Occidental di utara Mexico, menempuh perjalanan sejauh 63 kilometer selama lebih 14 jam untuk tiba di garisan permulaan.
Tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan larian sebelum ini, Rivas Ramos difahamkan hanya berlatih melalui rutin harian di kampung halamannya.
Tampil unik berkain sarong dalam acara tersebut, Rivas Ramos berjaya menamatkan perlumbaan dalam masa 7 jam 34 minit dan menduduki tempat pertama bagi kategori wanita.
Lebih mengagumkan, kejayaan itu dikecapi tanpa sebarang kelengkapan mewah atau latihan intensif dan hanya bergantung kekuatan fizikal yang dibina hasil daripada kehidupan lasak di kawasan pergunungan.
"Saya tahu perlumbaan ini diadakan setiap tahun, saya tak pernah sertai tapi tahun ini saya datang mendaftar sekitar April," katanya.
La etnia Raramuri si impone en los 63 kilómetros para mujeres del Ultra Maratón de los Cañones
Candelaria Rivas Ramos cruza la meta ante el apoyo total de los habitantes locales en Guachochi.pic.twitter.com/CtizawE2NG
— TVC Deportes (@TVCDeportes) July 5, 2025
Tambahnya, minat untuk menyertai acara itu timbul selepas melihat penduduk kampungnya pulang membawa pingat usai tamat perlumbaan tersebut sebelum ini.
Komuniti Raramuri yang juga dikenali sebagai Tarahumaramemang terkenal dengan kemahiran luar biasa dalam larian jarak jauh.
Perkataan Raramuri sendiri bermaksud 'pelari kaki' atau 'kaki ringan' yang merujuk kepada budaya berjalan dan berlari yang telah diwarisi turun-temurun.
Sesetengah pemburu dalam kalangan mereka dikatakan mampu memburu haiwan sehingga ia keletihan tanpa menggunakan senjata.
Dalam acara yang berlangsung di bandar Guachochi, Mexico itu, perlumbaan turut dimulakan dengan upacara adat dan berkat tradisional Raramuri, sebagai simbol ikatan spiritual yang kuat antara masyarakat dan kebolehan luar biasa mereka dalam larian.
Rivas Ramos membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak 7,000 peso Mexico (RM1,600) dan mendedikasikan kemenangan itu khas buat keluarganya.
Kisah luar biasanya mencuri perhatian masyarakat khususnya komuniti larian di seluruh dunia dan rata-ratanya amat mengagumi kebolehan dimiliki etnik Orang Asli tersebut.
Malah, kejayaannya turut menjadi bukti bahawa semangat juang dan keazaman mampu mengatasi segala kekurangan dengan kekuatan sebenar datang daripada hati yang tidak mudah menyerah. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram