Keputusan masuk prasekolah 2026 boleh disemak mulai 5 Ogos, berikut cara buat rayuan jika tidak lulus


  • Bonda
  • Selasa, 05 Ogos 2025

Keputusan kemasukan ke prasekolah bagi sesi 2026 sudah boleh diperiksa pada 5 Ogos. — Gambar hiasan/Freepik AI

PENDIDIKAN awal kanak-kanak merupakan langkah penting dalam membentuk asas pembelajaran dan sahsiah sebelum memasuki alam persekolahan sebenar.

Bagi ibu bapa mempunyai anak berusia antara empat hingga enam tahun, keputusan permohonan kemasukan ke prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi sesi 2026 boleh mula disemak mulai 5 Ogos 2025.

Semakan boleh dibuat secara dalam talian melalui portal rasmi KPM di pautan https://eprasekolah.moe.gov.my dan sistem tersebut dibuka kepada semua yang membuat permohonan sebelum ini sama ada secara dalam talian atau manual.

BACA LAGI: Pengorbanan ibu rahsia kejayaan, Johan Ghazali hadiahkan jam Rolex dari hasil ganjaran kemenangan

BACA LAGI: 'Dia orang pertama cium tangan aku', pelawak popular kongsi pengalaman bertumbuk dengan pelajar ketika jadi guru

Namun, tidak dinafikan kuota kemasukan ke prasekolah agak terhad dengan kemasukan pelajar bergantung kepada beberapa syarat dan kelayakan ibu bapa.

Bagi mereka tidak berjaya, rayuan masih boleh dilakukan dan berikut merupakan antara langkah boleh diambil bagi ibu bapa yang mahu mencuba permohonan kali kedua.

1. Hantar rayuan secara rasmi

KPM menyediakan saluran untuk ibu bapa mengemukakan rayuan secara dalam talian melalui laman prasekolah yang sama.

Tempoh rayuan biasanya dibuka sehingga hujung Ogos dan keputusan rayuan akan dimaklumkan sekitar September berdasarkan kekosongan dan keperluan lokaliti.

2. Pilihan ke prasekolah swasta atau tadika berdaftar

Sekiranya rayuan tidak berjaya, ibu bapa masih boleh memilih untuk mendaftarkan anak ke prasekolah swasta atau tadika di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) seperti di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau PERMATA KEMAS.

Bagi menyelaraskan pengajian peringkat kanak-kanak, setiap prasekolah swasta atau tadika berdaftar diwajibkan mengikuti Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) seperti ditetapkan KPM.

Maka, ibu bapa masih berpeluang menyediakan pembelajaran dan kaedah kurikulum serupa biarpun gagal dalam rayuan permohonan.

3. Periksa kriteria kelayakan

Antara faktor permohonan ditolak adalah disebabkan kekurangan dokumen, alamat berada di luar zon sekolah atau usia anak yang belum cukup syarat minimum iaitu empat tahun.

Justeru, ibu bapa dinasihatkan untuk menyemak kembali maklumat permohonan sebelum membuat rayuan kali kedua.

Penting mohon prasekolah awal

Kemasukan ke prasekolah kerajaan KPM sering mendapat permintaan tinggi kerana faktor kualiti pengajaran, yuran minimum, kemudahan lengkap dan guru berkelayakan.

Justeru, ibu bapa disaran membuat permohonan lebih awal dan lengkap setiap tahun apabila sistem dibuka sekitar Mac hingga Jun.

Gagal diterima masuk ke prasekolah KPM bukanlah pengakhiran kerana ibu bapa masih mempunyai banyak pilihan pendidikan peringkat awal seiring dengan tetapan kurikulum kementerian pendidikan negara.

Paling penting, kanak-kanak perlu diberikan pendedahan awal kepada pembelajaran dalam suasana yang selamat, seronok dan sokongan penuh terhadap perkembangan holistik mereka.

Untuk maklumat lanjut dan semakan keputusan, layari portal rasmi: https://eprasekolah.moe.gov.my atau hubungi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berdekatan untuk sebarang pertanyaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram