Boleh pilih kaedah bersalin di rumah, wanita kongsi pengalaman lahir anak di London


  • Bonda
  • Khamis, 07 Ogos 2025

Detik kelahiran merupakan momen paling mencabar buat golongan ibu. — Gambar hiasan/Freepik

SETIAP negara mempunyai sistem penjagaan kesihatan ibu yang berbeza, termasuk dari segi prosedur bersalin, kaedah rawatan serta pilihan yang ditawarkan kepada wanita hamil. 

Di sesetengah negara, pendekatan yang lebih mesra ibu, kurang campur tangan perubatan dan menekankan hak serta kebebasan pesakit semakin menjadi amalan.

Ini termasuklah di London, United Kingdom (UK), di mana ibu hamil bukan sahaja diberi pelbagai pilihan untuk melahirkan anak, malah turut dihormati dalam setiap keputusan berkaitan tubuh dan rawatan sepanjang proses kelahiran.

BACA LAGI: [VIDEO] Tempuh 14 jam perjalanan dari kampung, wanita Orang Asli menang larian Ultra Marathon Canyon 2025

BACA LAGI: 'Ini bukan content, ini penghinaan', Mekyun selar tindakan remaja beri sisa tulang ayam kepada gelandangan

Berkongsi pengalaman melahirkan anak di sebuah hospital sekitar London sebelum ini, seorang wanita dikenali sebagai Intan Syafiqah menyatakan beberapa perbezaan dan keunikan fasiliti tersedia di negara barat itu.

Memuji pendekatan sistem kesihatan digunakan di sana, perbezaan paling ketara dialaminya ialah tahap campur tangan perubatan yang sangat minimum, khususnya bagi kehamilan berisiko rendah.

"Selagi anda berisiko rendah, bidan akan cuba sedaya upaya untuk menjauhkan anda dari campur tangan hospital.

"Duduk la rumah sampai dah betul tiba masa kena pergi pemeriksaan, itupun kena telefon dulu sebelum pergi hospital.

"And mind you boleh hitung dengan jari berapa kali saya jumpa doktor sebenar, di sini bidan dan doktor pelatih membantu anda melalui segalanya," katanya di laman Threads.

Tambahnya, setiap pesakit diberi pilihan untuk bersalin sama ada di rumah sendiri atau wad hospital dan kaedah kelahiran juga boleh dipilih berdasarkan kemahuan ibu hamil.

Menyediakan segala kelengkapan lengkap sebelum dan selepas bersalin secara percuma, Intan Syafiqah turut memuji perkhidmatan staf perubatan yang sentiasa membantu khususnya indiivdu kali pertama bergelar ibu.

Sektor perubatan di London membenarkan ibu hamil memilih kaedah dan lokasi bersalin. — Gambar hiasan/Freepik

"You boleh pilih nak beranak macam mana, water birth macam artis ke, hypno birth, nak beranak kat rumah, nak dekat birth centre hospital ada candle light, semua percuma. Boleh rakam semasa bersalin semuanya terpulang kepada anda. 

"Gym ball, peanut ball dan segala peralatan untuk bantu induce labour secara semula jadi juga disediakan. Semuanya disesuaikan dengan keselesaan ibu," tambahnya.

Pun begitu, atas faktor keselamatan dan pengalaman kali pertama, wanita tersebut memilih untuk bersalin di wad hospital.

Kebebasan dalam membuat keputusan, akses kepada peralatan moden serta pendekatan mesra ibu menjadikan sistem penjagaan kehamilan di London lebih menyokong dan menghormati keperluan individu.

Tidak dinafikan, sektor perubatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga memiliki kredibiliti dan kualiti tersendiri dalam isu kesihatan wanita hamil.

Namun, pendekatan yang memartabatkan hak dan keutamaan wanita dalam proses kelahiran, wajar dijadikan contoh ke arah peningkatan mutu perkhidmatan bersalin negara demi kesihatan pesakit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram