Wanita tak galak bertangas risiko luka lepas bersalin lambat sembuh, jadi lebih teruk — Pakar


  • Bonda
  • Rabu, 06 Ogos 2025

Petua bertangas tidak digalakkan dalam dunia perubatan moden. — Gambar hiasan

PETUA bertangas selepas bersalin masih menjadi rutin ramai wanita Malaysia dikatakan membantu membuang angin, menyegarkan tubuh dan mempercepatkan pemulihan dalaman.

Namun, beberapa pakar kesihatan antarabangsa menegaskan amalan itu sebenarnya boleh membawa risiko komplikasi yang serius, terutama jika luka bersalin masih belum sembuh sepenuhnya.

Menggunakan wap panas secara langsung pada kawasan faraj yang sensitif boleh menyebabkan luka lambat sembuh, bahkan meningkatkan risiko jangkitan ataupun melecur.

BACA LAGI: [VIDEO] Harmoni 16 tahun berpoligami, suami syukur 11 anak dijaga baik dua isteri

BACA LAGI: Pengorbanan ibu rahsia kejayaan, Johan Ghazali hadiahkan jam Rolex dari hasil ganjaran kemenangan

Menggunakan wap terlalu panas atau dekat dengan sumber haba boleh mengakibatkan luka pada kawasan faraj. Ini disebabkan kebanyakan wanita gemar menggunakan peralatan buatan sendiri yang tidak dikawal suhu wap.

Ia bukan sahaja menyakitkan, malah boleh mengundang masalah kesihatan yang akhirnya memerlukan rawatan kecemasan di hospital.

Wanita lepas bersalin perlu melalui tempoh berpantang dan rehat mencukupi.

 

Risiko jangkitan faraj

Selain itu, difahamkan amalan bertangas juga boleh mengganggu keseimbangan bakteria semula jadi dalam tubuh manusia kerana faraj secara semula jadi mengandungi bakteria baik seperti lactobacillus membantu mencegah jangkitan.

Risiko wap panas atau herba masuk ke dalam faraj:

- Mengganggu mikrobiom faraj.

- Mengubah pH semula jadi.

- Meningkatkan risiko jangkitan.

- Menyebabkan bakteria terkumpul di bahagian vagina.

- Berisiko mengalami penyakit radang pelvis.

Situasi boleh menjadi lebih serius jika terdapat luka bersalin yang masih belum sembuh sama ada luka pembedahan c-zer atau koyakan semula jadi ketika melahirkan.

Sementara itu, pakar bedah Dr. Amalina Bakri baru-baru ini turut menegaskan amalan bertangas sebagai satu perkara yang tidak digalakkan dalam dunia perubatan moden.

Katanya, kaedah tradisional itu akan melambatkan proses pemulihan vagina yang sepatutnya terjadi secara semula jadi.

"Vagina anda boleh bersihkan dengan sendiri, tak perlu stim herba atau wap panas untuk detoks, in fact steaming can cause burns, irritation and disrupt the natural balance of your vagina.

"Kalau kita stim vagina dengan wap panas boleh menyebabkan luka bersalin lambat sembuh atau jadi lebih teruk.

"What you need is rest, hygiene and medical follow up bukan rawatan yang boleh membahayakan, you can wash it with warm water, hormati budaya tapi jangan takut ilmu, your healing your way," katanya di laman Instagram.

Pakar Urutan dan Postnatal Fisioterapi Siti Hajar Mahbob juga pernah menyuarakan pendapatnya berkaitan isu berbangkit.

Jelasnya, bertangas hanya boleh dilakukan dalam situasi tertentu dan ia boleh dipantau berdasarkan pertukaran warna darah nifas selepas bersalin.

"Bila kita perlu bertangas? ia dilakukan ketika penghujung darah nifas apabila darah dah berwarna coklat atau tinggal cairan kekuningan bukannya dilakukan ketika darah berwarna merah dan masih banyak.

"Jadi mommy yang berpantang perlu ambil perhatian ya," ujarnya di laman Threads.

Bukan keperluan

Amalan bertangas tidak disokong secara perubatan kerana faraj mampu membersihkan dirinya secara semula jadi.

Cecair seperti keputihan dan lochia (darah nifas) akan dikeluarkan oleh badan secara fisiologi, tanpa perlu dicuci atau diwapkan dari luar.

Maka, ibu yang baru melahirkan digalakkan untuk lebih mengutamakan rehat, pemakanan sihat dan penjagaan luka selepas bersalin.

Jika terdapat keperluan untuk rawatan pemulihan tradisional, ia wajar dibincangkan terlebih dahulu dengan doktor atau bidan bertauliah dan sebaiknya amalan bertangas hanya dilakukan selepas luka benar-benar sembuh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram