Sama seperti lagu In Team, Hijjaz sebenarnya tak kisah lagu diubah suai Gen Z di TikTok


  • Hiburan
  • Rabu, 06 Ogos 2025

Kumpulan nasyid Hijjaz pernah mencetuskan fenomena dalam industri muzik tanah air satu ketika dahulu.

SEIRING perkembangan teknologi semasa, industri muzik nasyid negara juga tidak terlepas daripada melalui fasa perubahan kemajuan itu.

Buktinya, lagu popular nyanyian kumpulan In Team, Kasih Kekasih baru-baru ini kembali dimainkan di TikTok dengan versi remix dugem persis dangdut.

Biarpun lagu itu asalnya bermelodikan klasik dan irama nasyid, kreativiti anak muda masa kini telah berjaya mengubah suai karya era 2000 itu dengan nafas baharu yang lebih catchy dan dekat di hati pendengar gen Z.

BACA LAGI: 'Dia orang pertama cium tangan aku', pelawak popular kongsi pengalaman bertumbuk dengan pelajar ketika jadi guru

BACA LAGI: Raja Permaisuri Agong lancar blog 'Lessons from Life', wadah perkongsian pendapat buat rakyat jelata

Bagaikan fenomena, ia meraih perkongsian ramai yang kembali memutarkan semula lagu ikonik kumpulan nasyid popular tersebut baru-baru ini.

Terkesan dengan perkara itu, sebuah lagi kumpulan nasyid yang pernah mencipta nama satu ketika dahulu iaitu Hijjaz tidak menolak sekiranya karya popularnya turut diubah suai dalam bentuk remix.

Penyanyinya, Munif Ahmad atau lebih dikenali sebagai Munif Hijjaz yakin dengan cara itu peminat generasi baharu akan lebih mengenali kumpulannya.

"Memang zaman sekarang semua digital, kita tak boleh nak kawal dan tak salah pun kalau lagu Hijjaz dibuat versi remix asalkan tidak lari maksud dan terpesong seni katanya.

"Memang trend sekarang kan, kalau lagu Sumayyah diubah pun saya okay sahaja mana tahu dengan cara itu peminat sekarang pun boleh kenal kami.

"Zaman berubah maka muzik pun berubah, cumanya nasyid kita memang tak boleh lari sangat daripada rentak klasik tapi trend digital sekarang semua benda boleh jadi," katanya kepada Majoriti.

 

 

 

Dalam pada itu, Munif dalam masa sama tidak menolak untuk kembali mengadakan konsert Hijjaz bagi mengubati kerinduan peminatnya.

Walau bagaimanapun, penyanyi asal Pontian, Johor itu sedikit khuatir tentang sambutan dan galakan orang ramai sekiranya perkara itu benar-benar direalisasikan tahun depan.

"Kita risau sebenarnya nak buat konsert sebab banyak cerita artis sekarang terpaksa batal last minute bila kurang sambutan, tiket tak terjual.

"Itu yang kalau boleh kita nak buat konsert ni kena betul-betul selidik dan kaji supaya tak berlaku perkara tak diingini, tapi memang kita ada berbincang dengan In Team untuk buat konsert tahun depan Insha-ALLAH.

"Baru-baru ni pun In Team punya tiket terjual laris dalam masa dua jam tak silap, itu petanda baik untuk kami yang dalam industri nasyid ni, Rabbani pun akan buat konsert juga Alhamdulillah," ujarnya.

Sekadar info, kumpulan Hijjaz merupakan antara pelopor genre nasyid moden di Malaysia yang berjaya membawa mesej Islamik ke arus perdana muzik tanah air.

Ditubuhkan pada 1997 selepas berpisah dari kumpulan Nada Murni, Hijjaz dianggotai oleh Salleh Deril, Faizal Uzir, Munif Ahmad dan Hafiz Hamidun (sebelum bergerak solo).

Mereka dikenali dengan lagu-lagu berunsur kerohanian yang menyentuh jiwa seperti Fatamorgana, Doa Pemimpin, Permata Yang Dicari dan Sumayyah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram