
BARU-BARU ini negara digemparkan dengan berita pergaduhan membabitkan seorang pelajar dan guru di sebuah sekolah menengah dekat Kajang, Selangor.
Bukan kes kali pertama berlaku, namun sikap biadab dipamerkan tertuduh di Tingkatan Satu itu jelas menggambarkan isu sosial dihadapi kalangan pelajar sekolah hari ini.
Terkesan dengan hal itu, rata-rata tenaga pengajar khususnya pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggesa tindakan setimpal dikenakan terhadap pelaku dan kegiatan gangsterisme segera dihentikan di peringkat sekolah.
BACA LAGI: Raja Permaisuri Agong lancar blog 'Lessons from Life', wadah perkongsian pendapat buat rakyat jelata
Tidak terhenti di situ, pelawak popular Ajo atau nama sebenarnya, Wan Azrul Azizan dari kumpulan Mamu turut berkongsi pengalamannya ketika berkhidmat sebagai guru di sebuah sekolah Pulau Pinang sekitar 2009.
Pernah berdepan situasi pergaduhan pelajar samseng di sekolahnya, bekas finalis program realiti Raja Lawak musim keempat itu walau bagaimanapun berbangga apabila berjaya menundukkan ego individu berkenaan dengan cara tersendiri.
Ajo (kanan) ketika bersama kumpulan Mamu dalam program Raja Lawak pada 2010.
"Dulu aku pernah jadi cikgu di SMJK Chung Hwa, ada gak kes macam ni jadi kat aku tapi sebagai anak antoo yang menjadi cikgu aku rileks ja berhadapan dengan student cempera buih yang jahat kat sekolah sebab nak tunjuk hebat depan geng.
"Dalam hati aku bagitau budak ni memang akan jadi nasi kandaq kuah sotong, aku tunggu kat lif flat tengah sepanjang petang tu, tanpa baju cikgu dan name tag, aku menanti dengan setia di atas moto 125 yamaha aku.
"Tiba-tiba muncul sosok budak tu keluar dari lif nak pi pasar malam, apa jadi lepas tu korang pikiaq la sendiri, esok pagi masa kat sekolah dia orang pertama mai cium tangan aku kat kelas," katanya di laman Facebook pada Khamis.
Sementara itu dalam hantaran berasingan, Ajo turut berkongsi foto hari terakhirnya ketika bergelar guru.
Akui sedikit kesal kerana tidak sempat bergambar kenangan bersama pelajar-pelajarnya, hal itu menurutnya berlaku selepas dia difahamkan terpaksa bergegas ke Kuala Lumpur bagi menghadiri uji bakat program Raja Lawak.
"Ramai tak percaya aku pernah jadi cikgu dulu, nah ada satu gambar je dalam bilik guru SMJK Chung Ling tahun 2009, tak sempat ambil gambar dengan pelajar," ujarnya.
Sekadar info, Ajo berganding dengan Abu (Abu Musarrif Abu Bakar) dalam kumpulan Mamu dan merupakan salah satu finalis dalam musim keempat Raja Lawak di Astro.
Walaupun tidak bergelar juara, lawak mereka berjaya meninggalkan kesan di hati peminat dan terus aktif menerima jemputan persembahan selepas rancangan itu berakhir.
Selepas Raja Lawak, kumpulan duo itu terus diundang dalam program Maharaja Lawak Mega 2012 dan 2013 selain turut beraksi dalam rancangan seperti Bintang Mencari Bintang, Bakat RTM dan lain-lain.
Kini, Ajo semakin bergiat aktif dalam bidang pengacaraan dan kerap diundang sebagai penyampai pada majlis-majlis tertutup di sekitar Kuala Lumpur. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram