'Semasa dalam kandungan semua okey', anak kurang oksigen ketika lahir, ibu belajar berdamai dengan takdir


  • Bonda
  • Isnin, 04 Ogos 2025

Di Malaysia, kesedaran mengenai keadaan HIE masih rendah, menyebabkan ramai ibu bapa tidak mengetahui tentang kondisi tersebut sehingga mengalaminya sendiri.

MENERIMA hakikat anak yang dikandung selama sembilan bulan dilahirkan dalam keadaan tidak sempurna bukanlah hal mudah untuk mana-mana ibu.

Seperti yang dikongsikan seorang wanita menerusi akaun Threads fatehah_zhr, perasaan keliru, sedih dan kecewa menjadi sebahagian daripada perjalanan awalnya sebaik dimaklumkan bayinya mengalami Hypoxic-Ischemic Encephalopathy (HIE).

HIE adalah satu keadaan kecederaan otak akibat kekurangan oksigen ketika lahir.

BACA LAGI: Anak demam berpanjangan, ibu bapa jangan ambil mudah jika bayi ada 'strawberry tongue'

BACA LAGI: Ada kes bayi sakit teruk akibat digomol ketika balik raya Aidilfitri, ibu bapa perlu tahu langkah elak anak kena jangkitan RSV

Tutur beliau, kata-kata seorang doktor di klinik kesihatan ketika anaknya, Ilhaan dibenarkan keluar dari Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) masih terngiang-ngiang dalam fikiran.

"'Sayangnya waktu dalam kandungan semua okey tapi jadi macam ini. Puan kena kuat ya terima semua ini'.

"Ayat doktor itu tak salah pun cuma dia orang pertama yang cakap realiti macam itu. Bertakung air mata tapi sebab ayat doktor itulah perlahan-lahan saya boleh reda," tulisnya pada Sabtu.

Beliau berkongsi, bayi lelakinya yang dilahirkan lima bulan lalu, berubah dari proses kelahiran normal kepada pembedahan kecemasan.

Ujarnya, ketika kandungan berusia 38 minggu, beliau mengalami kontraksi pada waktu pagi dan bukaan serviks meningkat daripada dua ke enam sentimeter dalam tempoh kurang empat jam.

“Dalam bilik bersalin, bacaan jantung bayi cantik tapi tiba-tiba, degupan jantung Ilhaan jatuh secara drastik.

"Terus masuk ke bilik pembedahan untuk caesarean, itu pun sekejap tak sampai 30 minit.

"Pakar siasat katanya uri, tali pusat semua tiada masalah. Mereka tak tahu kenapa walaupun tindakan pantas diambil, bayi masih boleh lemas," katanya.

Kongsi wanita itu, sejak lahir, Ilhaan memerlukan bantuan tiub untuk makan dan bergantung pada rawatan fisioterapi, terapi cara kerja, pertuturan dan neurologi.

Walaupun perjalanan itu berat, beliau kini semakin kuat demi anaknya.

“Dulu hari-hari down tapi sekarang saya dah pandai kawal (emosi). Insha-ALLAH masih struggle, tapi kena kuat sebab ini untuk anak,” luahnya.

Di Malaysia, kesedaran mengenai keadaan Hypoxic-Ischemic Encephalopathy (HIE) masih rendah, menyebabkan ramai ibu bapa tidak mengetahui tentang kondisi tersebut sehingga mengalaminya sendiri.

Jelas wanita itu lagi, kebanyakan maklumat dan perkongsian berkaitan HIE pula lebih banyak datang daripada negara Barat.

Melalui perkongsian itu, si ibu berharap lebih ramai akan cakna tentang keadaan seperti HIE dan cabaran yang dihadapi anak-anak istimewa serta keluarga mereka.

"Saya ingat lagi waktu doktor beritahu tentang diagnosis anak sebagai severe HIE, saya tanya kes ini jarang ditemui ke sebab tak pernah dengar dan tahu pun pasal HIE.

"Doktor jelaskan ia bukan kes jarang ditemui sebab kelahiran seperti itu ada setiap minit dan HIE juga biasa terjadi," kata beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram