Tak diam diri, bekas kerani buat laporan polis elak lebih ramai staf wanita jadi mangsa gangguan seksual 'Encik Zul'


  • Maya
  • Ahad, 03 Ogos 2025

Wanita itu mendakwa, ketika kejadian, dirinya hanya kaku tidak berbuat apa-apa kerana terlalu takut dan terkejut. — Gambar janaan AI

SEORANG wanita mendakwa hampir dicabul majikan ketika bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat pembinaan di Senawang, Negeri Sembilan sehingga mendorongnya membuat laporan polis dan letak jawatan serta-merta.

Hal itu dikongsikan menerusi hantaran di aplikasi Threads menggunakan akaun bernama snrebeccaa pada Sabtu.

"Ini bukan isu aib atau saya tidak tahu malu dedahkan apa yang dah jadi pada diri sendiri, tapi mahu kejadian ini dijadikan sebagai pengajaran kepada semua orang di luar sana," tulisnya.

BACA LAGI: [VIDEO] Status OKU suspek cabul di masjid Batang Kali masih dalam siasatan, polis reman 7 hari

BACA LAGI: [VIDEO] Umpan aiskrim, sarjan tentera direman 5 hari disyaki cabul budak perempuan di Melaka

Difahamkan, insiden itu berlaku pada 6 Mac lalu, ketika beliau bersendirian di pejabat bersama majikannya yang dikenali sebagai Encik Zul (bukan nama sebenar).

Ujarnya, lelaki itu pada awalnya panggil masuk ke dalam pejabatnya atas alasan kerja.

Lebih malang buatnya pada waktu kejadian, semua kakitangan tiada kerana turun ke tapak projek dan menghadiri mesyuarat, kecuali wanita itu dan seorang lagi kerani dikenali sebagai Kak Syu.

"Nak dijadikan cerita Kak Syu keluar beli barang untuk kegunaan pejabat masa ni memang saya seorang saja ada dengan bos.

"Bilik bos dengan saya memang jauh tapi masih boleh dengar kalau dia panggil.

"Dia panggil Kak Syu berulang kali sampai dia keluar dari bilik sebab nak panggil lagi tapi saya terus beritahu yang Kak Syu ke kedai," tulisnya.

Dakwa wanita itu, sebelum kejadian, majikannya sering mengadu sakit belakang dan berulang kali meminta beliau mengurut, namun ditolak secara tegas.

Beliau menegaskan, dirinya tidak pandai mengurut dan menyarankan majikannya mendapatkan rawatan sepatutnya atau berjumpa doktor.

Jelas wanita itu, pada hari kejadian, majikannya sekali lagi berdiri di hadapan mejanya dan menyatakan masih mengalami sakit pinggang sambil meminta untuk diurut, namun permintaan tetap tidak dilayan disebabkan beliau berasa takut.

"Selang berapa puluh minit masa itu dah dekat pukul 12 tengah hari. Bos panggil dekat bilik dia, Wallahi saya memang fikir dia panggil untuk cari fail, invois, surat atau yang lain, sebab memang selama bekerja dia panggil untuk urusan kerja.

"Sewaktu pergi bilik dia, memang tak ada langsung fikir yang dia akan buat apa apa.

"Sebaik melangkah kaki masuk ke pejabatnya, bos terus tolak saya ke tepi, tutup pintu dan kunci," ceritanya.

Beliau mendakwa, ketika kejadian, dirinya hanya kaku tidak berbuat apa-apa kerana terlalu takut dan terkejut.

"Bos membelakangkan badannya, paksa saya urut pinggang dia. Dia suruh tekan pakai ibu jari pula tapi saya memang masih tegak berdiri tak nak buat dan masih terdiam.

"Bos siap tanya nak dia baring atau tak sambil tunjuk lantai pejabatnya yang ada sejadah," dakwanya.

Selepas kejadian, wanita itu segera memaklumkan kepada Kak Syu dan bahagian sumber manusia sebelum membuat laporan polis. Beliau turut mengetahui bahawa dirinya bukan mangsa pertama.

“Saya buat laporan kerana tidak mahu dia normalisasikan perbuatan ini terhadap pekerja wanita lain,” tegasnya.

Difahamkan, polis telah menahan suspek untuk siasatan, namun dibebaskan dengan jaminan selepas dipercayai memadamkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pejabat.

Menurut wanita itu, tindakannya membuat laporan polis adalah langkah untuk memutuskan kitaran gangguan yang didakwa turut pernah berlaku kepada bekas pekerja wanita sebelum ini.

Beliau menyedari ramai wanita mungkin memilih untuk berdiam diri kerana rasa takut atau malu.

Wanita berkenaan turut mengingatkan wanita lain agar sentiasa peka dengan sebarang tingkah laku mencurigakan, tidak kira sama ada daripada rakan sekerja mahupun majikan sendiri.

"Bukan salah perempuan kalau lelaki yang tak boleh kawal iman dan nafsu kalau pandang ajnabi.

"Tutuplah dan 'berbungkuslah' sekali pun perempuan, kalau lelaki tetap ada niat jahat, memang akan jadi," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram