Tokoh korporat dari Cherok Tok Kun enggan terlalu selesa, mahu wanita hindari sindrom 'imposter'


  • Sukses
  • Isnin, 04 Ogos 2025

Noor Amy memiliki lebih 25 tahun pengalaman kepimpinan dalam modal teroka, transformasi digital dan pertumbuhan strategik. — Instagram/nooramyismail

MEMBESAR di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Dr. Noor Amy Ismail menganggapnya dirinya biasa-biasa sahaja.

Namun dalam 'biasa-biasa' itu, nama beliau kini sudah berdiri sebaris dengan pemimpin korporat dunia.

Jika ada yang mengatakan latar belakang kampung menjadi halangan individu untuk berjaya, wanita berusia 49 tahun itu kuat menangkis tanggapan kolot tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Viviana wanita Iban pertama rangkul Miss Grand Malaysia 2025, dedikasi buat warga Bumi Kenyalang

BACA LAGI: Pemergian bapa jadi titik pemula, Miss Malaysia bawa misi kesihatan mental ke pentas dunia

Memiliki lebih 25 tahun pengalaman kepimpinan dalam modal teroka, transformasi digital dan pertumbuhan strategik, beliau dilantik oleh badan kerajaan untuk merangka Pelan Induk Modal Teroka Malaysia 2024–2030.

Ia merupakan satu kerangka menyeluruh yang bakal memacu industri bernilai lebih kira-kira RM9 bilion, sekali gus menyasar lonjakan daya saing ekosistem startup dan teknologi di negara ini.

Rekod beliau dalam menjayakan pertumbuhan transformatif bukan sekadar terletak pada angka pelaburan yang besar, tetapi juga kemampuannya mengemudi cabaran dalam persekitaran pemegang taruh yang kompleks termasuk dana kekayaan negara, agensi kerajaan dan syarikat multinasional global.

Noor Amy enggan terlalu lama berada di takuk selesa. — Instagram/nooramyismail

Kepada Majoriti, Ahli Lembaga Pengarah dan Panel Penasihat di Wahed Invest itu berkongsi perjalanan karier, dibentuk oleh salasilah keluarga yang begitu menitikberatkan pendidikan.

Noor Amy menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dalam Perakaunan di Australia, pada usia 21 tahun.

Sekembalinya ke tanah air, beliau memulakan kerjaya di firma audit terkenal, Deloitte sebelum berhijrah ke sebuah syarikat rangkaian televisyen tempatan.

Di situ, beliau banyak terlibat dalam pelbagai pengambilalihan syarikat dan penstrukturan semula organisasi.

“Saya belajar banyak perkara di situ, dari proses penyenaraian semula, penggabungan syarikat sehinggalah pada kerja-kerja strategik,” katanya.

Figura itu kemudian diserap ke Pejabat Perdana Menteri untuk seketika sebelum berhijrah ke Singapura menyertai konglomerat media yang berpangkalan di Singapura, MediaCorp sebagai Naib Presiden Perancangan Strategik. 

Keluar zon selesa

Selepas tiga tahun berkhidmat di Kota Singa, Noor Amy menerima pelawaan kembali ke tanah air untuk menyertai organisasi strategik seperti InvestKL Corporation dan FGV Holdings, namun hatinya mula berbisik tentang perubahan.

Tidak semua individu sanggup melepaskan jawatan selesa, pendapatan lumayan dan kehidupan yang stabil.

Namun tidak bagi anak kedua daripada empat beradik itu, yang enggan terlalu lama berada di takuk selesa.

"Kita akan jadi bahaya apabila terlalu selesa," tegasnya yang baru menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada Julai.

Noor Amy menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada Julai lalu. — Instagram/nooramyismail

Hanya membawa tiga beg, Noor Amy pada 2018 mengambil keputusan meninggalkan semua kemewahan di Malaysia dan berpindah ke London.

Tujuannya? Mengikuti pengajian Sloan di sekolah perniagaan terkemuka dunia, London Business School (LBS) selama setahun.

Sloan adalah program sarjana dalam kepimpinan dan strategi yang direka untuk profesional kanan dan eksekutif berpengalaman. 

“Dalam kelas tersebut ada 64 CEO dari seluruh dunia termasuk Microsoft, NASA

"Rasa macam nobody tapi di situlah saya belajar bahawa kita kena unlearn to learn.

"Pengalaman di sana bukan sekadar akademik. Ia ubah saya secara profesional dan peribadi,” ungkapnya yang mengeluarkan belanja lebih RM500,000 hanya untuk yuran penyertaan sahaja.

Noor Amy menekankan betapa pentingnya wanita mempunyai sistem sokongan yang kuat untuk menyedarkan bahawa mereka mampu dan layak untuk berjaya. — Instagram/nooramyismail

'Jangan rendahkan diri'

Menyifatkan wanita sebagai golongan yang sering menghadapi sindrom imposter atau perasaan tidak layak terhadap kejayaan sendiri, bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) itu mengakui pernah melalui fasa sama ketika dijemput menyertai panel antarabangsa.

"Kadang itu orang tak cakap apa pun, tapi kita yang terasa.

"Sebab itu pentingnya ada sistem sokongan yang kuat untuk menyedarkan wanita bahawa mereka mampu dan layak berjaya," jelasnya yang pernah bekerja sebagai pelayan kafe ketika berada di London.

Menyentuh mengenai pengaruh keluarga terhadap pencapaiannya kini, beliau berkongsi, arwah bapanya yang juga seorang guru kembali ke universiti pada usia 72 tahun untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana. 

“Itu yang membakar semangat saya. Kalau abah boleh, kenapa tidak saya.

“Saya memang suka sekolah, sejak kecil memang rumah penuh dengan buku. Ingat lagi semasa umur 11 tahun, saya baca buku The Malay Dilemma. 

"Tak faham pun tapi sebab ada kat rumah, saya baca. Pendidikan tidak semestinya dalam bentuk formal. 

"Mak saya belajar masak melalui majalah dan pada masa sama mengajar orang. Itu juga ilmu,” bicaranya menambah arwah datuk juga seorang bekas guru besar yang memiliki stesen minyak sendiri.

Noor Amy mengakui, konsep 'work-life balance' barangkali tiada dalam kamus hidupnya. — Instagram/nooramyismail

Komputer riba

Bagi Noor Amy, konsep work-life balance barangkali tiada dalam kamus hidupnya. 

Menggalas tanggungjawab sebagai eksekutif kanan dalam organisasi strategik, beliau memilih untuk bangun seawal pukul 4 pagi setiap hari demi memastikan semuanya berjalan lancar.

Setia ditemani komputer ribanya, peranti itu menjadi perkara pertama yang dicari saat celik mata.

“Tidur dengan komputer riba itu perkara biasa. Bangun pagi pun benda pertama saya capai adalah laptop. 

"Bunyi macam psikotik, tapi itu realiti dan sudah terbiasa,” katanya berseloroh.

Namun, di sebalik jadual hariannya yang padat, beliau tetap mengutamakan waktu tidur dengan memastikan dirinya tidur seawal selepas solat Isyak, sekitar pukul 9.30 malam.

Baginya, rahsia terbesar untuk kekal fokus dan bertenaga terletak pada amalan tahajud, satu rutin yang dianggapnya sebagai penyelamat selama bertahun-tahun.

“Tiada tip lain, tahajud adalah penyelamat saya selama ini. Kalau seminggu sekali pun tak apa, tapi jangan tinggal. 

"Ia bukan sesuatu yang mudah. Ia satu anugerah. Ibadah ini juga menjadi ‘cermin hati’ dan pengimbang dalam kehidupan saya," tutur beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram