
SEJARAH tercipta apabila Viviana Lin Winston diumumkan sebagai Miss Grand Malaysia 2025, menjadikan beliau wanita pertama dari kaum Iban merangkul gelaran berprestij itu.
Mahkota kemenangan disarungkan pada malam kemuncak pertandingan yang berlangsung meriah di Pusat Konvensyen HGH Sentul, Kuala Lumpur, pada Rabu sekali gus menjadi detik membanggakan buat negeri Sarawak dan komuniti Iban di seluruh negara.
Viviana, 25, kini sedang melanjutkan pengajian tahun kedua dalam program Komunikasi Strategik di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), menyifatkan kemenangan itu dedikasi buat tanah kelahirannya dan masyarakat yang sentiasa memberi sokongan padu.
BACA LAGI:Pemergian bapa jadi titik pemula, Miss Malaysia bawa misi kesihatan mental ke pentas dunia
BACA LAGI: 'Ini adalah untuk anda, Malaysia!' Eshwin Kaur wakil negara, top 5 Miss Supranational 2025
“Dari bumi Sarawak ke pentas gemilang Malaysia, saya berdiri di sini bukan sekadar sebagai Viviana Lin Winston, tetapi sebagai wanita Iban dan anak Sarawak pertama yang menyarungkan mahkota ini,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Dengan pesona anggun dan ketajaman intelek yang terserlah, Viviana berjaya memikat hati barisan juri, melayakkan dirinya membawa pulang hadiah wang tunai, set barang kemas dan pelbagai pakej eksklusif.
Beliau turut menzahirkan penghargaan buat keluarganya, pasukan dari Sarawak dan para penyokong yang tidak pernah jemu menyuntik semangat sepanjang pertandingan.
“Daripada lubuk hati yang paling dalam, terima kasih kepada setiap seorang daripada anda yang mempercayai saya, memberi sokongan dan cinta tanpa henti.
"Mahkota ini bukan hanya milik saya, ia milik kita semua.
“Kemenangan ini adalah hasil usaha, air mata dan dedikasi bersama. Kita impikan, usahakan dan kini kita capai. Destinasi seterusnya, Thailand,” katanya.
Viviana turut menyuarakan penghargaan buat peminat yang sentiasa mengangkatnya dalam doa dan kata-kata semangat.
“Setiap mesej, setiap doa, setiap hadiah mengejutkan semuanya menyentuh hati saya dengan begitu mendalam.
"Anda bukan sekadar menyokong, anda mengangkat saya. Ini bukan pengakhiran, sebaliknya permulaan kepada babak baharu” katanya.
Sebagai Miss Grand Malaysia 2025, Viviana bakal bersaing ke pertandingan Miss Grand International (MGI) yang dijadual berlangsung di Bangkok, Thailand pada Oktober ini.
Dalam edisi tahun ini, tempat kedua disandang oleh peserta dari Negeri Sembilan, Dr. Nisha Thayananthan, manakala peserta dari Sabah, Rochil Sagarino, meraih kedudukan ketiga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram