[VIDEO] Ibu terpaksa bawa anak derita tumor di dalam kotak ketika 'delivery' makanan, cari wang rawatan


  • Bonda
  • Ahad, 03 Ogos 2025

Zhu adakalanya perlu meninggalkan anaknya di dalam kotak penghantaran semasa menghantar pesanan.

TINDAKAN seorang ibu muda di wilayah Anhui, China membawa anak perempuannya yang sedang sakit dalam kotak penghantaran makanan mencetuskan gelombang simpati warga maya setelah video insiden itu tular di media sosial baru-baru ini.

Wanita hanya dikenali dengan nama keluarga Zhu, dilihat menghantar makanan dalam cuaca panas, sambil menempatkan anak berusia empat tahun, Nuoxi, di dalam kotak khas dipasang pada basikal elektriknya.

Lebih menyayat hati, Nuoxi yang menghidap tumor sejak dua tahun lalu dilihat memakai jarum infusi pada tangan dan 'port' kemoterapi pada dada.

BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal

BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal

Menurut Zhu, beliau tidak mempunyai pilihan lain selain bekerja sambil menjaga anak memandangkan suaminya, Guan, juga merupakan penghantar makanan sepenuh masa.

“Saya perlu bekerja untuk membiayai kos rawatan Nuoxi,” katanya.

Kadangkala, Zhu meninggalkan anaknya di dalam kotak penghantaran semasa menghantar pesanan.

Dalam beberapa situasi, beliau terpaksa menaiki tangga sambil membawa makanan di sebelah tangan dan sebelah tangan lagi mengendong Nuoxi.

Nuoxi telah menjalani tiga pembedahan, sembilan sesi kemoterapi dan 12 sesi radioterapi, namun kekal kuat dan positif.

Tambahnya, walaupun bimbang pelanggan akan membuat aduan jika berlaku kelewatan, setiap kali Nuoxi menawarkan diri untuk menekan butang lif, beliau berasakan, segala penat lelahnya berbaloi.

Menurut ibu itu, anaknya telah menjalani tiga pembedahan, sembilan sesi kemoterapi dan 12 sesi radioterapi, namun kekal kuat dan positif.

Selepas video tersebut tular, orang ramai tampil menghulurkan sumbangan kewangan kepada Zhu melalui akaun media sosialnya.

Kerajaan tempatan turut memberi bantuan segera, termasuk memproses permohonan bantuan kewangan keluarga itu.

Zhu turut memaklumkan bahawa syarikat penghantaran makanan Meituan, tempat mereka bekerja, telah memberi bantuan kewangan khas.

Namun, timbul juga kebimbangan terhadap keselamatan dan kesihatan Nuoxi, lebih-lebih lagi apabila kanak-kanak itu terdedah pada cuaca panas yang ekstrem.

Seorang pengguna media sosial menggesa kerajaan agar tidak hanya bergantung kepada media sosial untuk bertindak membantu rakyat yang memerlukan.

Susulan kejadian, Guan memaklumkan hasrat untuk bekerja lebih keras agar Zhu dapat berhenti bekerja dan menjaga Nuoxi sepenuh masa.

Bidang kerja popular

Di China, pekerjaan penghantaran makanan menjadi antara bidang kerja paling popular dalam kalangan pekerja migran kerana pendapatannya yang lumayan.

Menurut data Pusat Maklumat Rangkaian Internet China dan Persatuan Hospitaliti China, terdapat lebih 545 juta pengguna perkhidmatan penghantaran makanan di negara itu, dengan purata 3.3 bilion yuan (RM2 bilion) dibelanjakan setiap hari.

Walau bagaimanapun, penghantar makanan dilaporkan bekerja antara 14 hingga 15 jam sehari.

Syarikat Meituan telah melancarkan mekanisme anti keletihan yang memaksa penunggang berhenti bekerja selepas 12 jam berturut-turut sebagai langkah keselamatan.

Namun begitu, sebilangan penghantar makanan tidak bersetuju dengan langkah tersebut kerana ia menjejaskan pendapatan mereka, malah ada yang memilih untuk berpindah ke platform lain apabila dipaksa berhenti bekerja. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram