[VIDEO] 'Berdosa ke tak boleh maafkan ayah sendiri', getar suara wanita kongsi kisah bapa enggan jadi wali, abai sejak kecil


  • Cinta
  • Ahad, 03 Ogos 2025

Wanita itu berkongsi kisah menyayat hati tentang hubungannya bersama si ayah yang renggang sejak kecil. — Gambar hiasan/Freepik AI

SEORANG wanita mengaku tidak mampu memaafkan ayah kandung sendiri, yang mengabaikannya sejak kecil dan enggan hadir ketika urusan penting perkahwinannya.

Perkara itu dikongsikan individu berkenaan menerusi panggilan telefon dalam segmen Refleksi di Suria bersama Ustaz Amin oleh stesen radio popular, Suria FM.

Dalam nada suara bergetar menahan emosi, wanita berusia 32 tahun itu berkongsi kisah menyayat hati tentang hubungannya bersama si ayah yang renggang sejak beliau kecil.

BACA LAGI: Bapa kandung hilang 28 tahun, bila muncul halang nikah, ketahui prosedur wali enggan

BACA LAGI: Dendam terhadap bekas isteri, bapa berkeras enggan jadi wali nikah, anak pula jadi mangsa

“Berdosa ke saya sebagai anak, tak boleh nak memaafkan ayah sendiri?

"Sebabnya masa saya nak berkahwin, dia tak nak bagi kerjasama. Jadi saya terpaksa mengikut prosedur untuk menggunakan wali hakim.

"Ketika prosedur itu, mahkamah minta hadir ke mahkamah tapi dia tak nak," katanya.

Lebih menyedihkan, wanita itu memberitahu, bapanya sendiri telah memutuskan hubungan kekeluargaan dengannya.

"Ayah kata sampai sini (saja) kita berhubung. Jangan ganggu dan cari dia lagi," kongsinya.

Wanita itu memaklumkan, bapanya bercerai dengan ibunya ketika beliau berusia tiga tahun.

Sejak kecil, beliau tidak pernah menerima nafkah ataupub kasih sayang daripada bapa dan apabila meningkat dewasa, setiap keperluan terpaksa diminta sendiri.

"Sampai saya dah ada anak pun, dia tak pernah nak jumpa ataupun bertanya khabar.

"Jadi berdosa ke saya sebagai anak, tak boleh nak memaafkan dia? Tak adakah tempat saya di syurga nanti?" soalnya sebak.

Menjawab persoalan tersebut, Ustaz Amin menjelaskan, seseorang individu tidak dianggap berdosa jika belum mampu memaafkan bapa disebabkan luka dan kekecewaan yang pernah dilalui.

Ujarnya, perbuatan itu boleh menjadi berdosa sekiranya timbul daripada perasaan dendam atau niat untuk memutuskan silaturahim.

Namun menurut Ustaz Amin atau nama penuhnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim, isu sebenar wanita itu bukan sekadar berdosa atau tidak, tetapi tentang bagaimana seorang bapa sanggup menafikan kebahagiaan anak kandungnya sendiri.

"Macam mana seorang ayah boleh mahukan keburukan dalam hidup anak dia.

"Sudahlah tinggalkan anak daripada kecil sehinggakan anak menderita tak dapat kasih sayang bapa, nafkah pun tak dapat.

"Apabila dah besar, anak nak bahagia dia sekat lagi kebahagiaan anaknya.

Tambah beliau, dalam Islam, jika bapa enggan menjadi wali tanpa alasan syarie yang sah, maka penggunaan wali hakim adalah dibenarkan dan dilindungi oleh undang-undang syariah di Malaysia.

“Apapun keburukan, dendam dan kesumat yang pernah berlaku dalam hidup kita sebelum ini, jangan lepaskan kepada anak-anak.

"Sebab anak-anak kita layak untuk bahagia, mereka tak salah," pesannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram