
APA kaitannya antara landasan kereta api, cendawan ajaib dan telur emas?
Bagi jenama barang kemas mewah dari Singapura, State Property Fine Jewellery (State Property), ia bukan sekadar imaginasi pelik daripada minda anak kecil, tetapi nadi kepada koleksi ulang tahun ke-10 mereka yang penuh makna.
Ditubuhkan pasangan suami isteri, Afzal Imram dan Lin Ruiyin pada 2015, State Property menghabiskan sedekad terakhir dalam usaha mentakrifkan semula rekaan barang kemas bebas di Singapura.
Gaya unik mereka menggabungkan keanggunan seni bina dengan emosi yang mendalam, menyatukan latar belakang Afzal dalam reka bentuk industri dengan latihan formal Lin dalam reka bentuk barang kemas.
Sepanjang perjalanan, jenama itu menjadi kegemaran kultus di peringkat global, dengan hasil rekaan mereka digayakan oleh ikon seperti Michelle Obama, Rihanna dan Taylor Swift.
Selain memiliki butik di pusat beli-belah Takashimaya dan atelier di Jalan Armenian, jenama itu turut dijual di lebih 20 peruncit fizikal dan dalam talian di Amerika Utara, United Kingdom dan Timur Tengah.
Malah baru-baru ini mereka turut menyertai pertunjukan khas (trunk show) di gedung mewah Bergdorf Goodman di New York City.
Diilhamkan daripada cerita sebelum tidur anak mereka, koleksi terbaharu State Property menampilkan rekaan arca berbentuk cendawan, telur dan landasan kereta api dalam emas 18K dan berlian. — Agensi
Koleksi paling peribadi
Meskipun capaian semakin meluas, koleksi terbaharu sempena ulang tahun ke-10, yang diilhamkan daripada cerita sebelum tidur anak lelaki mereka yang berusia tiga tahun, Mika merupakan koleksi paling peribadi setakat ini.
Afzal berkongsi, Mika sering bercerita tentang pengembaraan kosmik liar mencari telur emas, lengkap dengan landasan angkasa, planet cendawan dan wira-wira hebat.
"Banyak elemen dalam cerita itu sebenarnya berkait dengan kehidupan harian kami, seperti telur kosmik yang sebenarnya adalah coklat Kinder Joy yang kami larang dia makan sebelum tidur.
"Cendawan pula berasal daripada ensiklopedia kanak-kanak yang kami baca bersama,” katanya.
Cerita Mika hadir tepat pada waktunya, ketika mereka sedang mencari ilham untuk koleksi istimewa sempena ulang tahun ke-10 State Property.
Terpesona dengan dunia imaginatif anak mereka, pasangan itu mengolah naratif tersebut ke dalam tiga motif utama, yakni telur, cendawan dan landasan.
Masing-masing diterjemah menjadi rekaan elegan menggunakan emas 18K, berlian dan enamel, menggabungkan abstraction yang halus dengan keanggunan rekaan seni bina.
Antara rekaan yang menonjol termasuk subang telur, dengan teras enamel hitam pekat dan berlian potongan zamrud berkilau.
Selain itu, cincin cendawan juga menyerlah dengan enamel merah terang dan berlian kecil menyerupai spora.
State Property bekerjasama dengan Ripple Root, yang terkenal dengan lukisan berus berwarna terang dan berani. — Agensi
"Rekaan landasan kereta api pula menggunakan berlian baguette diapit ‘kayu landasan’ emas, menghasilkan siluet seni bina untuk cincin, gelang dan subang yang sofistikated.
“Kami mahu menzahirkan rasa ingin tahu kanak-kanak dalam cara yang matang dan berseni, bukan secara literal.
"Ruiyin benar-benar menyerlahkan kreativiti dan kehalusannya dalam koleksi ini,” ujar Afzal.
Jenama global
Walaupun bermula sebagai jenama kecil dari Singapura, bukan kota fesyen utama seperti Paris atau New York, State Property kini sudah diangkat menjadi nama global.
"Namun, kejayaan itu bukan datang dengan mudah. Kami tiada rangkaian industri, tiada warisan keluarga dalam bidang barang kemas.
"Kami hanya ada visi dan keinginan untuk belajar,” kata Afzal.
Seiring masa, falsafah rekaan yang menggabungkan struktur dan kelembutan, intelek dan sensualiti telah membina pengikut setia dari pelbagai benua.
“Kami mereka bukan mengikut trend, tapi dengan niat sentiasa berinteraksi dengan budaya, sejarah dan bentuk tubuh manusia,” tambahnya.
Koleksi tersebut juga menandakan langkah mereka untuk membina komuniti, bukan hanya dengan pelanggan, tetapi melalui kolaborasi dengan seniman.
State Property turut bekerjasama dengan duo ilustrator dari Singapura, Ripple Root, yang terkenal dengan lukisan berus berwarna terang dan berani, untuk menghasilkan tiga ilustrasi yang menggambarkan dunia seperti yang diceritakan oleh anak mereka, sekali gus memberi gambaran tentang alam imaginasi tersebut.
Namun bagi pasangan itu, kejayaan sebenar bukan sekadar pengiktirafan atau capaian pasaran.
“Kejayaan kini ialah apabila hasil kerja kami menjadi sebahagian hidup seseorang, ketika pelanggan datang kepada kami untuk mengabadikan detik penting dalam hidup mereka.
"Ia mungkin kejayaan yang lebih senyap, tetapi jauh lebih mendalam,” ujarnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram